“I Am A Survivor”, Isteri Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Siti Hasmah Berdepan Dengan Kanser Payudara

Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali mendedahkan beliau kini berjuang melawan kanser payudara.

Beliau berkongsikan berita mengejutkan itu ketika berucap sempena Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, KL Pink October 2019 di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Dr. Siti Hasmah, beliau menyedari perubahan pada dirinya sekitar Mac lalu.

“Apabila saya berasa tidak sedap badan, saya terus berjumpa doktor. Dalam masa seminggu, doktor sahkan saya mempunyai ketumbuhan namun Alhamdulillah ia (ketumbuhan) kecil, yang penting adalah jangan takut untuk melakukan pemeriksaan,” kongsinya.

Ketika keputusan biopsi mengesahkan ketumbuhan di payudara kirinya itu adalah kanser, Dr. Siti Hasmah bagaimanapun tidak menceritakan hal itu kepada suaminya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Apabila dia (Dr. Mahathir) tahu pada hari keputusan biopsi keluar, dia tak bebel, cuma dia risau sampaikan meminta untuk saya dibedah pada esoknya.”

“Saya masuk wad selama empat hari. Selepas itu, saya dibedah untuk keluarkan ketumbuhan kecil berkenaan. Keesokan harinya, saya sudah boleh keluar daripada wad dan kini saya menjadi pejuang yang berjuang untuk melawan kanser,” katanya pada program yang turut dihadiri Pengarah HKL, Datuk Dr. Heric Corray dan Ketua Jabatan Radioterapi dan Onkologi HKL merangkap Pengerusi awatankuasa Penganjur, Dr. Ros Suzanna Ahmad Bustamam.

Dr Siti Hasmah menggesa agar semua wanita sentiasa peka dengan perubahan diri serta membuat saringan awal bagi mengenal pasti potensi kanser payudara.

Beliau menjelaskan wanita tidak perlu malu atau takut untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca