Hukuman Kepada Makcik ‘Bawang’ Pada Zaman Dahulu, Ini Kisah Scold’s Bridle

*Gambar di atas hanya sekadar hiasan. Sumber: Pinterest

Walaupun ia kini sudah menjadi satu keperluan, tahukah anda bahawa terdapat pelitup muka khusus yang digunakan pada Zaman Pertengahan di Eropah buat wanita yang kuat membebel dan bergosip?

Kami akan kongsikan kisah berkenaan Scold’s Bridle menerusi artikel ini:

Siapa yang perlu pakai scold’s bridle?

Ia dipakaikan kepada para wanita oleh suami mereka sekiranya individu-individu berkenaan didapati ‘membawang’ dan turut digunakan ke atas wanita yang dituduh mengamalkan ilmu sihir.

Topeng besi’ yang cukup sakit

Untuk pengetahuan anda, scold ini merujuk kepada penghinaan terhadap golongan wanita yang suka membebel dan tidak disenangi masyarakat.

Bridle pula membawa maksud penutup kepala yang dipakaikan kepada kuda oleh penunggangnya sekiranya individu berkenaan mahukan kawalan yang lebih besar terhadap pergerakan haiwan berkenaan.

Secara ringkasnya, scold’s bridle ialah pelitup muka yang diperbuat daripada besi untuk mengawal hamba pada suatu masa dahulu sebelum ia dijadikan alat untuk menghukum wanita pada abad ke-16.

Ia terdiri daripada jalur besi dan akan dililit pada muka pesalah sehingga terbentuk seperti topeng. Pelitup muka khusus ini juga mempunyai bahagian besi kecil iaitu kekang yang digunakan untuk menghalang wanita daripada bercakap. Kekang ini diletakkan dalam mulut wanita berkenaan dan akan menekan lidah wanita tersebut.

Namun, apa yang lebih mengerikan ialah paku pada kekang itu kadangkala akan menusuk lidah mangsa sekiranya dia cuba untuk bercakap.

Hukuman yang memalukan

‘Topeng’ ini ditambah dengan tanduk dan telinga yang kelihatan seolah-olah penghinaan kepada si pemakai. Penyeksaan ini berterusan apabila ‘mangsa’ scold’s bridle ini dibawa berjalan ke bandar oleh suami mereka dengan tali terikat pada ‘topeng’ tersebut.

Sudahlah dihukum, wanita-wanita ini pula akan diejek oleh orang ramai apabila dibawa keluar ke bandar. Tidak berhenti di situ, si suami pula akan menggalakkan orang ramai untuk meludah kepada isterinya.

Apa yang lebih menyedihkan ialah si pemakai tidak akan boleh makan dan minum serta bercakap sepanjang ‘topeng besi’ itu dipakaikan kepada mereka. Para suami juga akan memakaikan loceng pada topeng berkenaan untuk menarik perhatian daripada orang ramai. Hukuman ini dijalankan dengan alasan untuk memberi pengajaran kepada wanita pada zaman tersebut.

Akhirnya, wanita mula mendapat hak mereka pada akhir abad ke-19 dan hukuman ini dianggap sebagai ketinggalan zaman. Apa pendapat anda sekiranya hukuman ‘topeng besi’ untuk individu kuat bergosip ini masih kekal pada zaman ini?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca