Di Bumi, hujan terbuat daripada air dan ada juga hujan salji dan hujan ais. Kadang-kadang ada juga peristiwa aneh yang terjadi seperti hujan cacing dan hujan ikan di tempat-tempat tertentu. Namun, tidakkah anda tertanya-tanya tentang bagaimana bentuk fenomena hujan yang berlaku di planet selain Bumi?
Untuk pengetahuan anda semua, di planet lain juga berlaku fenomena hujan. Akan tetapi, ia tidak sama seperti di Bumi. Mari kita jelajah ke planet-planet tersebut dan ketahui sendiri bentuk kewujudan hujan di sana:
1. Hujan Batu (COROT-7b)
COROT-7b merupakan planet gergasi yang dikenali sebagai dunia berbatu. Ia dipanggil sedemikian kerana semua iklim dan cuaca di planet ini berunsurkan batu.
Di ruang angkasa planet ini juga terdiri daripada bahan-bahan yang sama seperti batu iaitu, natrium, kalium, ferum dan silikon monoksida. Ketika planet ini dilanda hujan, yang jatuhnya bukanlah titisan air tetapi kerikil-kerikil batu yang jatuh menghentam permukaan planet lava ini.
2. Hujan Kaca (HD 189733 b)
Sebuah planet bernama HD 189733 b disebut-sebut sebagai planet alien dan mempunyai jarak sepanjang 63 tahun kelajuan cahaya dari Bumi. Planet ini diliputi dengan warna biru yang indah kerana hujan kaca yang mencair di permukaan planet ini.
Planet yang sebahagian besarnya terbuat daripada gas ini berada sangat dekat dengan matahari di mana ia membuatkan planet ini mencapai tahap kepanasan yang tinggi iaitu melebihi 1800 Fahrenheit.
3. Hujan Metana Cair (Titan)
Titan, iaitu merupakan salah satu bulan yang mengorbit planet Zuhal memiliki banyak persamaan dengan Bumi. Bulan ini mempunyai angin, hujan dan juga terdapat gunung berapi di permukaannya yang mana menjadikannya mirip seperti Bumi.
Meskipun mempunyai banyak persamaan dengan Bumi termasuklah taburan hujan yang sama namun, Titan akan menurunkan hujan metana cair yang mana fenomena ini hanya akan terjadi sekali setiap tempoh 1000 tahun.
4. Hujan Asid Sulfurik (Zuhrah)
Hujan asid sangat jarang terjadi di Bumi tetapi lain pula ceritanya di planet Zuhrah kerana di planet ini sangat acap kali terjadi hujan asid. Bumi kita mempunyai awan yang terbuat daripada air tetapi di planet Zuhrah, awannya terbuat daripada gabungan asid sulfurik dan sulfur dioksida.
Walaupun hujan asid kerap terjadi di planet Zuhrah, tetapi hujannya itu jarang menyentuh permukaan tanah planet kedua terdekat dengan matahari ini.
5. Hujan Berlian (Musytari dan Zuhal)
Di planet Musytari dan planet Zuhal, hujan berlian sudah tidak asing lagi di sini. Hujan berlian di planet tersebut terjadi apabila ketika rebut petir berlaku, ia akan mengubah matana di atmosfera planet tersebut menjadi karbon.
Kemudian, kesemua bahan tadi bersatu dan menjadi unsur lain iaitu dipanggil grafit atau sejenis karbon. Tekanan akan diberikan kepada grafit tersebut untuk memampatkannya lalu terciptalah berlian yang indah.
Menurut Dr Kevin Baines dari NASA Jet Propulsion Laboratory, berlian-berlian yang dihasilkan rata-rata memiliki diameter satu sentimeter dan cukup besar untuk dijadikan sebagai cincin. Namun, jika berlian tersebut tidak mendapat cukup tekanan, mereka akan mencair.
Penulis
- Nik Mohammad Fitri Nik Azmi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.