Huawei Melancarkan Telefon Skrin Boleh Lipat Yang Hampir Mencecah RM11,000

Baru sahaja empat hari Samsung mengumumkan pelancaran gajet terbaharu mereka yang boleh dilipat iaitu Samsung Galaxy Fold, namun mereka telah mempunyai pesaing. Huawei hari ini memperkenalkan telefon pintar baharunya yang juga mempunyai ciri skrin boleh lipat, Huawei Mate X.

Namun begitu, Mate X menggunakan konsep yang berbeza berbanding Galaxy Fold di mana Mate X menawarkan skrin yang dilipat keluar, dan bukannya ke dalam seperti pada Galaxy Fold. Ini sekaligus menawarkan rekaan skrin menyeluruh dan penuh.

Para pengguna boleh menggunakan skrin depan sebesar 6.6-inci apabila ia dilipat. Apabila lipatan dibuka, ruang skrin tersebut akan menjadi seluas 8-inci. Dengan ini, ia membolehkan para pengguna untuk melalukan pelbagai kerja dalam satu masa (multi-task).

Gergasi telefon pintar dari China itu mengambil masa selama tiga tahun untuk mencipta engsel di mana ia sangat kompleks bagi menjadikan Mate X ini begitu nipis. Ini juga membolehkan ia dilipat rata tanpa kembung.

Mate X ini menggunakan sokongan butang-kuasa dilengkapi pengimbas cap jari pada bahagian sisi peranti. Selain itu, skrin Mate X ini tidak mempunyai sebarang takuk atau lubang. Ia hanya mempunyai satu ruang kamera yang terletak di sisi belakang. Sekiranya pengguna ingin mengambil swafoto, skrin belakang inilah yang bakal digunakan.

Bukan itu sahaja, rekaan bingkai pada bahagian tepi Mate X ini sedikit tebal. Ini akan memudahkan pengguna untuk memegang peranti, selain turut menyertakan beberapa komponen serta penyambung USB-C bagi tujuan pengecasan pada bahagian berkenaan.

Telefon pintar ini menggunakan kuasa pemproses tertinggi iaitu cip Kirin 980 yang digandingkan dengan modem 5G Balong 5000. Dengan ini, Mate X sedia digunakan dengan rangkaian 5G.

Sayangnya, bagi mengekalkan kenipisan badan Mate X ini, baterinya cuma sebesar 4,500mAH sahaja. Tetapi, gajet ini akan datang bersama-sama dengan pengecas baharu yang dikatakan terpantas dari Huawei iaitu SuperCharge 55W. Dengan sokongan ini, ia dikatakan boleh mengecas sehingga 85% bateri 4500mAh pada peranti ini dalam masa 30 minit.

Mate X akan hadir dengan RAM sebanyak 8GB dan storan dalaman sebesar 512GB, serta bakal ditawarkan pada harga 2299 Euro, iaitu sekitar RM10,625. Huawei mengatakan ia bakal dipasarkan bermula pertengahan tahun 2019 ini.

Huawei sendiri sedar bahawa harga yang ditawarkan mereka agak mahal, namun ia dikatakan setanding dengan kos penyelidikan. Selain itu, ia juga masih pada peringkat awal. Berkemungkinan harga untuk panel boleh lipat ini akan berkurangan dalam beberapa tahun, sekaligus mengurangkan harga jualan peranti berkenaan.

Adakah Huawei akan menjual telefon ini di Malaysia kelak? Tetapi, ada ke yang sanggup membeli telefon yang hampir mencecah RM11,000 ini?

Artikel Lain Untuk Di Baca