Ketika Orang Lain Ke Sekolah Untuk Belajar, Pelajar Dan Guru Di Beberapa Sekolah Ini Menulis Wasiat

Sebagai seorang pelajar, sekolah merupakan tempat menimba ilmu dan di mana kita bertemu rakan-rakan. Namun lain pula kisahnya buat pelajar dan guru di beberapa sekolah di Amerika ini yang menghitung hari bilakah mereka akan dibunuh.

Kedengaran agak ekstrem tetapi ini adalah realiti kehidupan di beberapa buah sekolah di negara tersebut. Selain daripada mengajar, seorang guru mendedahkan dia dan beberapa orang guru lain sibuk menulis wasiat sekiranya mereka menjadi mangsa tembakan rambang di sekolah.

Seorang pelajar berumur 12 tahun bernama Javon Davies pernah tular kerana dia turut menulis sebuah wasiat. Dalam penulisannya, pelajar gred 6 itu memberitahu sekiranya perkara buruk terjadi ke atas dirinya semasa kejadian tembakan rambang, keluarganya harus menyerahkan permainan video dan kucing perliharannya kepada rakan baiknya.

Kata-kata terakhir di dalam wasiat Javon itu adalah yang paling menyedihkan dan merentap jiwa. Sebagai kata-kata terakhir, Javon telah menulis satu luahan hati buat keluarnya.

“Saya sayang anda semua. Anda telah menjaga saya dan anda semua kekal di sisi saya sepanjang masa. Sayang, Javon.”

Ibu Javon, Mariama Davies berkata ia sungguh menyakitkan apabila dia sedar anaknya sudah mula menulis wasiat.

“Dia (Javon) terlalu muda. Kanak-kanak seusianya tidak patut berfikiran tentang kematian. Terlalu banyak perkara yang masih belum Javon lakukan. Dia tidak sepatutnya risau atau berfikir mengenai perkara seperti ini,” ujar Mariama.

Ketakutan warga sekolah ini bukanlah satu perasaan yang tidak berasas. Statistik menunjukkan terdapat 94 laporan mengenai kes tembakan rambang di sekolah pada tahun 2018. Angka ini merupakan jumlah tertinggi dalam 48 tahun. Rata-rata mereka yang jelas masih trauma memetik kes tembakan rambang di sebuah sekolah di Parkland, Florida dan tembakan rambang di sebuah Walmart di Parkland, Florida yang berlaku pada Ogos tahun ini sebagai pemangkin untuk penulisan wasiat ini.

Ketakutan ini turut dirasai oleh tenaga pengajar dan pelajar di universiti dan kolej. Seorang bekas pekerja di sebuah universiti mendedahkan dia turut menulis beberapa pucuk surat buat keluarga dan rakan-rakan sekiranya dia mati ditembak.

“Saya tidak mahu kematian saya menjadi perkara terakhir yang diingati oleh mereka tentang saya,” ujar bekas pekerja itu.

Salah satu alternatif yang dibekalkan pihak sekolah untuk menangani kes ini adalah dengan mengadakan latihan tembakan rambang. Latihan ini mengajar pelajar dan guru apa yang harus mereka lakukan sekiranya sekolah mereka ditawan oleh penembak. Sesetengah sekolah telah menambah meja khas yang dilengkapi butang di bawahnya. Sekiranya ditekan, pihak polis akan segera dimaklumkan.

Sebuah sekolah di Fruitport, Michigan pula dilaporkan akan melaburkan lebih $48 juta (RM200 juta) demi mengubah suai semula bangunan sekolah untuk mengurangkan kadar kematian akibat kes tembakan rambang. Sekolah baharu itu akan dilengkapi dengan koridor tajam yang mengehadkan pandangan penembak, halangan untuk pertahanan diri dan “zon bayang” yang dikatakan mampu untuk menyembunyikan pelajar dan guru daripada dilihat penembak.

Sumber: New York Post

Beberapa pakar kesihatan mental menyuarakan kebimbangan mereka mengenai latihan tembakan rambang ini. Mereka berpendapat bahawa latihan ini lebih banyak keburukan daripada kebaikan. National Association of School Psychologist (NASP) menyifatkan penutupan sekolah semasa kejadian tembakan rambang ternyata mampu menyelamatkan nyawa dan merupakan langkah terbaik. Walaupun begitu, perkara ini akan menambah risiko stres, anxiety dan trauma dalam kalangan warga sekolah.

Dalam jangka masa enam tahun, seramai 64 orang telah mati akibat insiden tembakan rambang di 41 buah sekolah. Dalam masa satu tahun sahaja, sekurang-kurangnya 59 kes melibatkan tembakan di sekolah telah dilaporkan. Beberapa rakyat Amerika kini telah menggesa tindakan diambil untuk mengelakkan lebih ramai anak-anak dan guru menjadi korban tembakan rambang.

Artikel Lain Untuk Di Baca