Hilang Selama 73 Tahun, Surat Cinta Veteran Perang Dunia Ke-2 Ini Akhirnya Ditemukan Semula

Seorang veteran Perang Dunia Kedua seolah-olah disatukan kembali dengan isterinya setelah menerima surat cinta yang ‘terlewat’ sampai.

Surat cinta itu dicoret oleh Bill Moore untuk isterinya puluhan tahun lalu. Ia dipercayai hilang sewaktu dalam proses penghantaran dan tidak pernah sampai ke tangan penerimanya. Surat itu akhirnya kembali kepada Bill 73 tahun kemudian.

Bill yang ketika itu berusia 20 tahun menulis surat cinta tersebut sewaktu sedang bertugas di Eropah. Pada masa itu, mereka sedang hangat dilamun cinta namun perang yang tercetus memaksa mereka untuk berpisah buat sementara waktu.

Perpisahan dengan wanita yang dikenali sebagai Bernadean Gibson itu menguatkan lagi rasa cinta Bill terhadapnya sekali gus membuatkannya mahu menikahi wanita tersebut.

Bagi mengubati rasa rindu terhadap Bernadean, Bill menulis sepucuk surat kerana pada masa itu, ia merupakan satu-satunya cara untuk berhubung. Namun begitu, surat yang ditulis pada 29 Disember 1944 itu telah hilang selama beberapa dekad sebelum ia ditemui oleh seorang wanita. Wanita itu kemudiannya memberi surat itu kepada Bill selepas melihat alamat pengirim yang tertulis pada sampul.

“Saya benar-benar terkejut. Saya menulis surat cinta itu ketika berusia 20 tahun dan 73 tahun kemudian, ia kembali kepada saya. Sayangnya, isteri saya sudah meninggal,” ujar Bill.

Dalam surat tersebut, Bill mengungkapkan perasaannya terhadap Bernadean. Dia juga turut memuji kecantikan wanita itu dan betapa bertuahnya dia untuk memiliki hati Bernadean. Berikut adalah apa yang dicoret Bill dalam surat tersebut:

My darling, lovable, alluring, Bernadean,

I ran out of space, but I could have written a lot more adjectives describing you. You are so lovely, darling, that I often wonder how it is possible that you are mine.

I’m really the luckiest guy in the world, you know. And you are the reason, Bernadean. Even your name sounds lovely to me.

Difahamkan, pasangan itu bertemu semasa di bangku sekolah lagi. Meskipun surat itu tidak pernah sampai ke tangan Bernadean, episod cinta mereka tetap berakhir dengan happy ending.

Sebaik sahaja Bill selesai bertugas, mereka bernikah dan dikurniakan tiga orang anak. Mereka hidup bahagia selama 63 tahun sebelum Bernadean akhirnya meninggal dunia pada April 2010.

Bill mengakui bahawa dia sangat merindukan Bernadean dan tiada siapa yang boleh menggantikan tempatnya. Amat sukar buat Bill untuk ‘melepaskan’ isterinya itu.

Kisah percintaan sejati dua insan ini pernah tular pada suatu ketika dahulu dan rata-rata menyifatkan ia sebagai kisah cinta paling indah.

Artikel Lain Untuk Di Baca