Hilang Punca Pendapatan Akibat PKP, Wanita Ini Terpaksa Beri Air Sirap Ganti Susu Anak

*Gambar di atas hanya sekadar hiasan.

Gara-gara kesempitan hidup, seorang ibu hanya mampu memberi anak kecilnya yang berusia tujuh bulan untuk minum air sirap bagi menggantikan susu tepung.

Wanita yang dikenali sebagai Siti Kholijah Dahlan itu mengatakan bahawa anak bongsunya, Muhammad Harras Miqail Mohd Shukri sudah tiga hari tidak diberikan susu memandangkan bekalan telah habis. Keadaan tersebut memaksa dirinya untuk menggantikan susu tepung dengan air sirap supaya anak kesayangannya itu tidak menangis kelaparan.

“Saya tidak dapat beli susu tepung sebab terputus duit belanja. Perlu guna untuk benda penting lain seperti makanan untuk seisi keluarga,” katanya.

Cerita Siti Kholijah, keadaan menjadi seperti itu selepas pendapatan suaminya iaitu Mohd Shukri Awang terjejas setelah penguatkuasaan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

“Suami mengambil upah meracun rumput dan buat kerja-kerja kampung, waktu PKP dia tak dapat bekerja, tak adalah pendapatan, macam mana nak beli susu dan lampin pakai buang,” luahnya.

Kisah keluarga itu tersingkap apabila mereka dikunjungi sukarelawan dari Persatuan Belia Santai Ganerasi Muda semasa turun padang menyampaikan sumbangan di kediamannya yang bertempat di Kampung Padang dekat Alor Setar, Kedah.

Pengerusi Persatuan Belia Santai Ganerasi Muda iaitu Mohamad Azhar Abd Aziz mengatakan bahawa keluarga itu diberikan sumbangan barangan dapur dan susu tepung bagi membantu mengurangkan beban kehidupan.

“Ketika itu, kami tiada dana daripada penyumbang, lalu kami ambil inisiatif gunakan duit poket sendiri untuk bantu mereka,” kata Mohamad Azhar yang dibantu seorang lagi sukarelawan Yayasan Sultanah Bahiyah iaitu Nurul Zawani Jamaludin.

Difahamkan, keluarga itu turut mempunyai enam lagi anak berusia antara 18 hingga dua tahun.

Kata Mohamad Azhar, fokus utama pihaknya menjurus kepada golongan asnaf. Sehingga kini, pihaknya telah membantu 24 keluarga.

“Sumbangan akan diteruskan sehingga PKP ditamatkan. Saya mewakili penerima mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang sudi membantu keluarga yang memerlukan ini,” katanya.

Tambah Mohamad Azhar, pihaknya bergantung kepada sumbangan orang ramai selain mencari dana sendiri bagi menyediakan barangan bantuan terbabit.

Untuk baca artikel lain berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca