Ini kisah saya yang telah kematian ibu ketika berumur 5 tahun.
Sejak itu saya tinggal bersama nenek dan bapa saudara saya. Di rumah itu kami dilatih supaya buat sendiri, cuba buat sendiri untuk kerja-kerja peribadi apabila umur meningkat.
Darjah 1 diajar basuh kasut sekolah sendiri dan kerja-kerja lain. Darjah 2 pula nenek ajar bancuh air sendiri menggunakan air panas dari ‘bocong’ air atau termos. Pada tahun itu juga saya terkena air panas di lengan kiri. Kemudian, saya bancuh sendiri juga air itu.
Selepas makan, basuh pinggan sendiri. Banyak kerja diusahakan sendiri.
Apabila darjah 4, saya tinggal bersama ayah. Saya mula belajar seterika baju sekolah sendiri. Itulah realiti anak kehilangan ibu.
Apabila melihat kanak-kanak seusia saya ketika itu, tidak sama dengan apa yang saya lakukan. Apabila makan ibu suapkan, sehingga mulut pun ibu tolong lapkan. Beg sekolah pun ibu mereka yang tolong bawakan. Macam-macam kerenah yang saya lihat sebagai seorang kanak-kanak ketika itu.
Pernah terlintas di dalam fikiran untuk cuba bersangka baik, ‘barang kali mereka tidak sihat.’ Itu yang saya terfikir sebagai seorang budak yang masih mentah.
Sebagai ibu bapa, kita menyangka apabila kita melakukan demikian, kita telah melahirkan rasa kasih sayang kepada anak-anak. Ya, itu kita rasa. Tapi, kita tidak tahu apa kesannya apabila anak itu membesar kelak. Kita mungkin sukar bezakan antara sayang anak dan jaga anak.
Sukar untuk kita ramal apa yang akan berlaku. Tetapi kita boleh melihat apa yang telah kita lakukan sekarang kepada mereka.
Lazimnya skrip diri kita adalah ‘aku tidak mahu anak aku susah seperti aku dulu.’ Itu biasanya yang datang daripada benak hati kita.
Apabila orang bertanya, dengan lancar kita berkata;
“Anak itu kecil lagi, belum faham apa-apa lagi.”
“Biarlah mereka main dulu, nanti besar sudah tidak boleh main begini.”
“Nanti besar sikit kita ajarlah.”
Melatih anak mengurus hidup sendiri memerlukan masa dan latihan yang betul. Tanamkan dalam hati anak-anak bahawa suatu hari apa sahaja boleh berlaku kepada ibu dan ayah. Jadi, mula berlatih sekarang.
Kita sangka, apa yang kita telah lakukan itu sebagai tanda rasa kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak kita. Tetapi kita tidak tahu kesan yang akan berlaku kepada anak kita itu.
Dalam kisah Si Tanggang, kita tentu menyalahkan Tanggang apabila menderhaka pada ibunya yang tua. Pernahkah kita bertanya, apa yang telah ibu Tanggang lakukan sehingga anak itu sanggup melakukan demikian?
Ya, kita berusaha menyediakan segalanya kepada anak-anak. Sehingga anak-anak tidak perlu memikirkan apa yang perlu dia lakukan. Soalnya sampai bila kita perlu buat begitu kepada mereka?
John Maxwell berkata, “If you do everything for your children, what will they do for themselves?”
Apa yang kita lakukan dalam keluarga, kita perlu dapatkan pandangan daripada orang kedua dan ketiga iaitu ibu apa dan adik-beradik yang lain. Adakah kita melahirkan seorang anak yang akan berbakti kepada kita di hari tua?
Fikir-fikirkanlah.
“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” Surah Al-Baqarah, ayat 216.