Dalam mana-mana budaya sekalipun, si mati sudah pastinya perlu dikebumikan sama ada ditanam mahupun dibakar. Namun, bagi masyarakat Toraja Indonesia, dalam tempoh beberapa hari selepas pemergian saudara mara mereka, mereka akan menyimpan mayat saudara mereka untuk ‘hidup’ di dalam rumah bersama mereka.
Lebih ekstrem, ada juga mayat yang disimpan selama bertahun-tahun lamanya setelah kematian mereka.
Kumpulan etnik yang terdiri daripada 1 juta orang ini percaya bahawa roh seseorang tetap dekat dengan tubuh walaupun selepas kematian. Mereka juga percaya tubuh yang diawet dengan baik akan membawa nasib yang baik.
Mayat turut diberi bilik mereka sendiri, pakaian mayat tersebut akan dibasuh dan ditukar setiap hari. Makanan dan rokok dibawa kepada mereka 2 kali sehari dan mereka mempunyai mangkuk di sudut bilik yang bertindak sebagai ‘tandas’ mereka. Mayat-mayat tersebut turut disuntik dengan bahan pengawet yang dipanggil Formulin bagi menghalang ia tersebut daripada mereput.
Seorang wanita Toraja menyatakan kepada wartawan BBC, Sahar Zand bahawa dia menyimpan mayat ayahnya, Paulo Cirinda di rumahnya selama 12 tahun.
“Sekiranya kami mengebumikan mereka dengan serta merta, kita juga turut berasakan pemergian mereka,” kata Mamak Lisa.
“Kami tidak akan dapat menangani kesedihan serta menyesuaikan diri dengan perpisahan ini,” tambahnya.
Mamak Lisa juga mendakwa bahawa ayahnya ‘masih sakit’. Istilah penyakit sering digunakan untuk menggambarkan orang yang sudah mati.
Semasa hayat mereka, suku Toraja bekerja keras untuk mengumpul kekayaan. Ia bukan kerana mengimpikan kehidupan mewah, namun mereka menyimpan untuk bersedia menghadapi keberangkatan yang mulia. Mayat tersebut akan berada di rumah keluarga si mati sehingga keluarganya bersedia mengucapkan selamat tinggal, baik secara emosi mahupun kewangan.
Menurut kepercayaan Toraja, pengebumian adalah tempat jiwa akhirnya meninggalkan bumi dan memulakan perjalanan seterusnya yang panjang dan keras ke Pooya iaitu tahap akhir kehidupan akhirat di mana jiwa diberikan penjelmaan semula.
Kerbau dipercayai sebagai pembawa roh ke dalam kehidupan akhirat dan itulah sebabnya keluarga mengorbankan kerbau sebanyak mungkin untuk membantu mempermudahkan perjalanan si mati.
Toraja juga menghabiskan sebahagian besar kehidupan mereka untuk upacara ini. Setelah keluarga sudah mempunyai simpanan yang mencukupi, mereka menjemput semua kawan dan saudara dari seluruh pelosok dunia. Lebih kaya si mati ketika hidup, maka lebih besar dan meriahlah upacara ini dilaksanakan.
Toraja jarang dikebumikan di dalam tanah. Sebaliknya, mereka akan dikebumikan sama ada di dalam makam keluarga atau ditempatkan di dalam atau di luar gua kerana mereka tinggal di kawasan pergunungan. Gua-gua ini dianggap sebagai tempat di mana kehidupan akhirat seolah-olah bersambung dengan dunia nyata.
Mereka perlu menempuh perjalanan yang berliku dan berkilometer untuk ke gua. Mereka membawa keranda dan mayat yang tidak terhitung jumlahnya untuk dimakamkan. Rakan-rakan dan keluarga juga membawa ‘keperluan’ untuk saudara mara mereka yang mati seperti wang dan rokok.
Pengebumian bukan bermakna selamat tinggal. Hubungan fizikal antara mati dan hidup terus berlanjut iaitu melalui ritual yang disebut ‘ma’nen’ atau ‘pembersihan mayat’. Setiap 2 tahun, keluarga akan mengambil keranda lama dari kubur si mati dan membukanya untuk mengadakan pertemuan dengan orang yang sudah mati.
Dalam majlis ‘ma’nene’, kawan dan keluarga menawarkan makanan dan rokok kepada orang yang mati dan dengan penuh kasih sayang dan membersihkan mereka. Kemudian mereka akan turut sama bergaya dengan mereka untuk potret keluarga baru.
Profesor Sosiologi Toraja, Andy Tandi Lolo menggambarkannya sebagai cara mengekalkan interaksi sosial antara mereka yang hidup dan mereka yang mati.
Di mata dunia, amalan ini mungkin kelihatan aneh. Tetapi mungkin prinsip-prinsip di sebaliknya tidak begitu berbeza berbanding budaya lain. Mengingati orang mati adalah sesuatu yang kita sendiri praktikkan. Cuma pendekatan dan bagaimana dipraktikkan itu mungkin sedikit berbeza.
Penulis
- Atikah Zakaria adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.