Hidup Bersama Psikopat, Ini Kisah Adik-Beradik Masha Dan Dasha Yang Berkongsi Tubuh

Kelahiran kembar siam sudah lama menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat ekoran keadaan mereka yang unik. Dek kerana rasa ingin tahu yang tinggi, seorang ahli psikologi Soviet, Pyotr Anokhin telah menjadikan pasangan adik beradik kembar siam Masha dan Dasha Krivoshlyapova sebagai fokus utama dalam kebanyakan projek sainsnya.

Dipilih sebaik dilahirkan

Masha dan Dasha Krivoshlyapova merupakan pasangan kembar siam yang dilahirkan pada tahun 1950 di Moscow, Russia. Adik-beradik ini berkongsi satu badan yang mempunyai sistem peredaran darah yang sama dan dua sistem saraf yang berbeza.

Pyotr melihat Masha dan Dasha sebagai subjek yang paling cocok untuk uji kajinya.

Oleh hal yang demikian, sebaik sahaja dilahirkan, pasangan kembar siam ini sudah dipisahkan daripada ibu mereka yang telah dimaklumkan bahawa anak-anaknya sudah meninggal dunia akibat radang paru-paru. Walhal, Masha dan Dasha sebenarnya telah dibawa ke sebuah institusi perubatan di Moscow di mana mereka telah dijadikan mangsa eksperimen sains Pyotr.

Diseksa atas nama sains

Disebabkan Masha dan Dasha mempunyai sistem peredaran darah yang sama dan dua sistem saraf yang berbeza, saintis telah menjalankan beberapa siri uji kaji yang berfokus untuk melihat reaksi salah seorang kembar itu tatkala saudaranya disakiti secara fizikal.

Antara eksperimen yang dijalankan ke atas pasangan itu ialah dengan membalut salah seorang kembar dengan ketulan ais sambil saintis memerhatikan tindak balas kembar yang satu lagi.

Kedua-dua gadis berkenaan dipercayai telah direnjat dengan eletrik, tidak dibenarkan tidur dan sebatang tiub telah dimasukkan ke dalam perut mereka untuk mengukur takat jus gastrik. Difahamkan, segala penyeksaan ini berlaku semenjak Masha dan Dasha masih bayi sehingga mencecah usia 12 tahun.

Personaliti Masha

Lama-kelamaan, Masha mula memberontak terhadap segala arahan saintis Soviet kepdanya. Terdapat satu insiden di mana Masha telah membaling sarung kakinya apabila dia dan Dasha diarahkan untuk sama-sama memakai stokin tersebut dalam satu uji kaji.

Apabila dua beradik kembar siam itu menginjak usia dewasa, Masha menjadi sukar dikawal. Menurut Juliet Butler yakni rakan kepada Masha dan Dasha, dia pernah melihat Masha menghamburkan kata-kata kesat kepada Dasha. Malah, Dasha juga pernah dipukul sehingga hidungnya berdarah dan didera secara verbal oleh saudaranya sendiri.

“Dia (Masha) enggan beri ruang untuk Dasha bercakap,” tambah Juliet.

“Masha juga amat bijak dalam menipu orang. Malah, dia kelihatan cenderung untuk menujukkan sifat narsisistik,”

Masha juga telah berjaya mengambil alih kehidupan Dasha sepenuhnya. Gadis itu telah memaksa saudaranya supaya memotong rambut mereka agar kelihatan seperti lelaki. Malah, Masha juga memastikan Dasha dan dirinya sentiasa memakai pakaian yang tidak menunjukkan sifat keperempuanan.

Dasha Krivoshlyapova

Berbanding dengan sikap saudaranya yang agresif, Dasha seorang yang lemah lembut dan berpesonaliti ceria.

Semenjak kecil, Dasha tidak mempunyai sebarang masalah untuk menurut arahan saintis Soviet sepanjang uji kaji.

Ketika dewasa, Dasha telah jatuh hati pada seorang lelaki bernama Slava. Kedua-dua mereka bertemu sewaktu Masha, Dasha dan Slava menghadiri sebuah sesi persekolahan di School for Invalids.

Sebaik sahaja mengetahui berita tersebut, Masha naik angin. Dia membantah sekeras-kerasnya hubungan Dasha dan Slava. Tidak cukup dengan itu, Masha telah menyerang Slava berkali-kali menyebabkan lelaki itu tidak punya pilihan lain selain menjauhkan diri.

Dasha yang kecewa dan tertekan dengan sikap saudara kembarnya telah cuba untuk menggantung dirinya sendiri pada usia 18 tahun namun gagal.

Pengakhiran Masha dan Dasha Krivoshlyapova

Selepas menghabiskan masa selama 53 tahun bersama, Masha akhirnya pergi meninggal dunia terlebih dahulu pada 17 April 2003 akibat serangan jantung.

Meskipun Dasha membenci sikap saudaranya, gadis itu enggan berpisah dengan jasad Masha. 17 jam kemudian, Dasha juga mengikut jejak langkah saudaranya. Punca kematian Dasha adalah disebabkan keracunan darah ekoran telah dijangkiti toksin daripada badan Masha yang sudah mula membusuk.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca