Hero Malaya Bukit Bintang, Restoran Congkak Tawarkan Hidangan Melayu Dan Nusantara Buat Anda

Sebut sahaja Bukit Bintang, pasti majoriti para pembaca yang pernah berkunjung ke sini akan terfikir tentang deretan restoran Timur Tengah di kawasan ini. Kadang-kadang, terasa bagaikan diri sedang berada di negara Arab Saudi setiap kali pergi ke Bukit Bintang berikutan terlampau banyak restoran yang menyajikan makanan Timur Tengah di sini.

Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter iaitu Aisa Benasri telah memuat naik satu ciapan di laman sosial itu tentang sebuah restoran yang menjadi hero di Bukit Bintang kerana mengetengahkan makanan Melayu di saat kawasan tersebut ‘ditenggelami’ dengan restoran Timur Tengah dan makanan segera.

Restoran yang dikenali dengan nama Congkak itu dilihat sebagai permata tersembunyi di sebalik kesesakan bandar Bukit Bintang. Menurut akaun Twitter rasmi restoran berkenaan, nama Congkak diinspirasikan daripada permainan tradisional negara kita iaitu congkak.

Sumber: Eat Drink KL

Sama seperti permainan congkak yang tidak lapuk dek zaman dan masih menjadi kegemaran ramai sehingga ke hari ini, restoran Congkak juga cuba untuk mengekalkan tradisi Melayu dengan mengetengahkan makanan tradisi yang jarang didapati di restoran-restoran lain.

Sumber: Twitter Congkak KL

Jika anda merupakan peminat makanan Melayu dan Nusantara, Congkak adalah restoran yang wajib anda kunjungi untuk memenuhi rasa craving anda. Antara juadah popular yang menjadi igauan ramai di Congkak termasuklah Nasi Ambeng, Rendang Tok, Soto Ayam Medan, Ayam Masak Lemak Nangka dan banyak lagi.

Sumber: The Star

Difahamkan, kesemua hidangan makanan yang ditawarkan di Congkak dikendalikan oleh Chef Firdaus yang mempunyai pengalaman dalam bidang kulinari selama lebih 15 tahun di pelbagai hotel dan restoran terkenal di Malaysia.

Tinjauan kami di Twitter mendapati ramai yang berpuas hati setelah berkunjung ke Congkak. Rata-rata bersetuju bahawa ia sememangnya adalah permata tersembunyi di bandar Bukit Bintang dan bukan sekadar omongan kosong semata-mata. Berikut kami kongsikan beberapa coretan daripada warga Twitter berkenaan restoran Congkak:

Sumber: Eat Drink KL
Sumber: Eat Drink KL

Selain makanan yang enak, suasana di Congkak juga menjadi salah satu sebab utama anda wajib berkunjung ke sini terutamanya jika anda mencari tempat yang Instagram-worthy. Berbeza dengan kafe-kafe lain yang berlari-lari untuk mengetengahkan konsep hipster, Congkak tetap dengan pendirian mereka untuk mengekalkan konsep tradisional dan klasik selari dengan slogan mereka iaitu “Keeping Tradition Alive.”

Apabila anda berkunjung ke restoran Congkak, anda akan berasa seolah-olah masa sedang diputar kembali ke zaman P. Ramlee dan Saloma. Selain suasananya sendiri yang cukup klasik, lagu-lagu klasik juga turut dimainkan di pembesar suara restoran ini.

Dalam pada itu, tinjauan kami di Twitter rasmi Congkak juga mendapati bahawa mereka ada menawarkan pakej untuk sambutan hari jadi atau apa-apa sambutan sekali pun.

Malah, anda tidak perlu runsing memikirkan soal dekorasi kerana pihak Congkak akan membuat segala persiapan untuk anda daripada A-Z.

Sebelum berkunjung ke Congkak, kami sarankan anda untuk membuat tempahan terlebih dahulu dengan menghantar Direct Message (DM) ke Twitter @congkakkl atau WhatsApp ke 019-2897008.

Alamat: 24, Jalan Beremi, Off, Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, 50200 Kuala Lumpur

Waktu operasi: Ahad-Khamis (12 tengah hari-10 malam), Jumaat-Sabtu serta cuti umum (12 tengah hari-11 malam) & tutup pada Isnin

Instagram: https://www.instagram.com/congkakkl

Twitter: https://twitter.com/congkakkl

Facebook: https://www.facebook.com/congkakkl/

Artikel Lain Untuk Di Baca