Henti Perintah Berkurung Terlalu Awal, Hokkaido Kini Terima Padah

Kita semua tahu bahawa virus COVID-19 masih belum menemui vaksin. Justeru itu, langkah berjaga-jaga perlu dilakukan oleh kerajaan sebelum membuat satu keputusan.

Hokkaido, pulau di utara Jepun kini dilanda gelombang kedua yang mencatatkan 135 jangkitan COVID-19 dalam tempoh seminggu selepas menamatkan perintah berkurung tiga minggu.

Pulau itu telah menamatkan perintah berkurung pada 19 Mac lalu, apabila kes jangkitan berkurang kepada satu angka. Ia bagi membolehkan perniagaan dan sekolah beroperasi.

Kini, wilayah itu mengisytiharkan darurat kecemasan.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Perubatan Hokkaido, Dr. Kiyoshi Nagase, beliau menyesal kerana perintah berkurung ditamatkan terlalu awal di wilayah dengan 5.3 juta penduduk itu.

“Ini bermakna kita mungkin perlu menunggu hingga tahun depan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat dan kita boleh menamatkan perintah berkurung tanpa risau,” katanya.

Pakar Kawalan Penyakit Berjangkit di Health Sciences University, Hokkaido, Prof. Yoko Tsukamoto turut bersetuju bahawa perintah berkurung ditamatkan terlalu awal.

“Pada masa itu, kita tidak mempunyai maklumat yang mencukupi atau pengetahuan mengenai wabak COVID-19.

Namun, kita tidak boleh persalahkan sesiapa kerana keputusan (menamatkan perintah berkurung) dibuat berdasarkan penurunan kadar jangkitan kepada hanya satu atau dua kes sehari.

Tapi kini kita sedar ini menjadi kesilapan terbesar, walaupun pada masa itu ia adalah tindakan yang wajar dilakukan,” katanya.

Semalam, Hokkaido melaporkan 38 kes baharu COVID-19 dan ia menjadikan jumlah kumulatif kepada 688 jangkitan dan 27 angka korban. Ini merupakan kes korban yang kelima tertinggi di Jepun.

Difahamkan, kes pertama direkodkan di Hokkaido pada seorang pelancong China dari Wuhan ketika Festival Salji Sapporo yang dihadiri dua juta orang pada Februari lalu sebelum perintah berkurung diisytiharkan.

Ontario, Kanada juga mengalami situasi yang sama di mana selama tiga hari berturut-turut mereka mempunyai penurunan kes baharu COVID-19, namun semalam jangkitan mula melonjak kepada 525 kes baharu dan 59 angka korban dalam 24 jam.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca