‘Hebatnya’ Allahyarham P. Ramlee, Masih Tiada Pengganti Hingga Kini

Kita semua sudah pastinya mengenali insan yang bernama P. Ramlee ini tidak kiralah sama ada melalui buku-buku, akhbar, bual bicara oleh seseorang di televisyen dan banyak lagi mengenai peribadinya iaitu suka duka hidup beliau, tentang lagu dan juga filemnya. Semua menjurus kepada peribadi P. Ramlee.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa P. Ramlee sebenarnya lebih daripada itu. Kelebihan P. Ramlee bukannya sekadar sebagai penyanyi, pemuzik, pencipta lagu, pelakon, pengarah, penulis skrip dan penghibur, tetapi P. Ramlee adalah seorang insan yang penuh dengan jiwa seni, jiwa pemikir dan juga insan yang penuh dengan jiwa kreatif.

Kelebihan P. Ramlee sebagai seorang insan seni dapat dilihat melalui lagu-lagu nyanyian ciptaan beliau, lirik-liriknya dan kebolehan beliau dalam bermain alat-alat muzik. Selain itu, kebanyakan lagu-lagu P. Ramlee sampai sekarang masih lagi kekal dinyanyikan, masih lagi terngiang-ngiang di ingatan kerana mudah diingati dan difahami.

Ini kerana lagu-lagu P. Ramlee diciptakan dengan penuh berseni yang lahir daripada jiwa seorang insan seni. Jika anda lihat, kebanyakan lagu-lagu beliau dicipta dengan penuh penghayatan dan mampu bertahan disebabkan lebih bersifat evergreen (malar segar).

Pandangan luas serta mesej yang diselitkan dalam setiap filem-filemnya, menjadikan kita hari ini terpukau dengan kebolehan dan kehebatan beliau dalam berkarya. Sebagai seorang yang tidak berpendidikan tinggi, kita sebenarnya kagum dengan kehebatan beliau menyelitkan mesej-mesej murni dalam karya-karya beliau.

Adalah tepat sekali tanggapan banyak pihak bahawa manusia seperti P. Ramlee ini sangat istimewa, mempunyai bakat besar, mempunyai visi tinggi dan ahli pemikir masyarakat yang mendahului zamannya.

Bukannya calang-calang manusia yang ketika dikelilingi oleh pelbagai cabaran seperti kurangnya peralatan dan kepakaran dalam bidang yang diceburinya, telah dapat menghasilkan karya-karya besar berbentuk filem.

Antaranya, Ibu Mertuaku, Antara Dua Darjat, Penarik Beca, Madu Tiga, Tiga Abdul, Bujang Lapok, Sumpak Orang Minyak, Nujum Pak Belalang, Ahmad Albab, Masam Masam Manis dan banyak lagi. Karya-karya beliau tersebut diterima sehingga ke peringkat antarabangsa.

Begitulah hebatnya manusia agung yang bernama P. Ramlee. Begitu besar jiwa dan falsafah yang ditunjuk dalam karya-karya seninya. Sebagai orang Melayu kita turut merasa bangga kerana ada anak Melayu yang mempunyai kehebatan seperti ini dan kehilangannya sehingga kini masih tiada pengganti.

Untuk membaca artikel lain berkaitan industri hiburan di Malaysia, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca