Kisah pelajar genius Matematik, Nur Fitri Azmeer Nordin yang pernah dijatuhi hukuman penjara kerana didapati bersalah memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London pada tahun 2015 kembali tular di media sosial.
Menurut Mstar, perkara ini bermula dengan satu tweet yang dikongsi oleh seorang pelayar Twitter yang mendakwa Nur Fitri sedang menyambung pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dikatakan Nur Fitri Azmeer Nordin pada awalnya menyertai UKM untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dalam jurusan Matematik di Fakulti Sains dan Teknologi. Kemudiaanya, dia telah didaftarkan ke pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) kerana memperoleh keputusan yang cemerlang dan mempunyai kelayakkan.
Susulan tular beberapa cerita kurang enak di media sosial, profesor yang menyelia Nur Fitri menggesa orang ramai supaya berhenti mengecam dan menyebarkan perkara tidak berasas sehingga menimbulkan rasa takut dalam kalangan penuntut universiti tersebut.
“Bagi saya selagi tak ada kes baharu, saya anggap bahawa dia sudah berubah. Jadi saya minta orang ramai jangan mudah percaya cerita di media sosial. Manusia ni suka tengok yang buruk je, apa kata cuba tengok sisi baharu dia pula,” katanya.
Namun, ramai pengguna media sosial yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu malah berasa Nur Fitri sepatutnya diasingkan daripada komuniti.
Nur Fitri dianggap sebagai genius matematik. Dia pernah mewakili Malaysia dalam Olimpik Matematik Antarabangsa pada tahun 2011 dan memenangi biasiswa Mara untuk belajar di Kolej Imperial London pada tahun 2012.
Dia telah dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Southwark Crown, London setelah mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan pedofilia dengan niat untuk mengedarkannya.