Hasrat Makan Durian Bertukar Menjadi Tragedi, Wanita Sarat Hamil Ini Maut Dihempap Tangga

Hasrat seorang wanita hamil untuk menikmati durian bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia telah dihempap tangga rumah yang masih dalam pembinaan. Insiden ngeri ini berlaku di Kampung Matang Pagar dekat Sungai Buloh pada Ahad.

Difahamkan, terdapat tiga individu yang cuba untuk membantu mangsa namun niat murni mereka bertukar menjadi tragedi apabila mereka turut maut gara-gara terkena renjatan elektrik.

Menurut Ketua Zon 1, Shah Alam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor iaitu Razali Mohd Nasir, susulan daripada runtuhan tangga berkenaan, kabel tiang lampu yang terletak bersebelahan rumah itu turut terjatuh.

“Tangga di rumah dua tingkat yang masih dalam pembinaan itu runtuh menghempap wanita hamil yang secara kebetulan sedang makan durian di bawahnya,” katanya.

“Tiga lelaki termasuk suami mangsa cuba menyelamatkan wanita tersepit bawah runtuhan tangga itu namun disahkan maut akibat terkena renjatan elektrik,” ujarnya.

Mangsa yang terkorban dalam insiden itu dikenali sebagai Wan Hasheliza Wan Ibrahim, Mohd Radezi Abdul Aziz, Shahril Apipie Mokhtar dan seorang lelaki warga Indonesia iaitu Bambang Sulistio.

Wan Hasheliza yang berusia 29 tahun itu dipercayai sedang sarat hamil lapan bulan. “Tolong! Sakit!” merupakan jeritan terakhir wanita itu sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

Mengulas lanjut, Razali memberitahu bahawa semua mangsa yang tersepit dikeluarkan anggota bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan, lapor Sinar Harian.

Artikel Lain Untuk Di Baca