Hasilkan Potret KP Kesihatan, Pemuda Ini Guna 4,000 Biji Kacang Hijau

hasilkan-potret-kp-kesihatan-pemuda-ini-guna-4000-biji-kacang-hijau

Sejak lebih setahun lepas sering kali disiarkan dalam media massa mahupun media sosial, paparan perit jerih petugas barisan hadapan dalam memerangi COVID-19, amat menyentuh perasaan rakyat.

Ramai dalam kalangan netizen menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas jasa yang tidak mungkin dapat dibalas dengan wang ringgit melalui pelbagai cara termasuk menghasilkan gambar mahupun video.

Michael Foo Chee Meng, 39, berasa terpanggil untuk menghasilkan lukisan potret panglima perang Kementerian Kesihatan (KKM) itu disebabkan rasa kagum dengan dedikasi yang ditunjukkan petugas kesihatan yang diketuai sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sumber: Facebook (Mycurl Foo)

Walaupun hanya menggunakan bahan makanan iaitu biji kacang hijau dan kuaci hingga menjadikan paparan wajah yang terhasil namun potret tersebut kelihatan unik berbanding kelaziman.

“Sebelum ini, saya menyertai pertandingan ‘The Art of Sunfower Seeds’ musim yang berlangsung pada April lepas dan menghasilkan gambar Dr Noor Hisham dengan menggunakan 300 keping kulit kuaci. Dan baru-baru ini, saya gunakan lebih 4,000 biji kacang hijau pula bagi menghasilkan potret beliau.

Sumber: Instagram (Mycurl Foo)

“Menghasilkan potret menggunakan kacang hijau mengambil masa selama lapan jam, namun apalah sangat jika dibandingkan dengan keringat dan tenaga yang dicurahkan oleh Dr Noor Hisham yang tidak jemu memerangi COVID-19 selama ini”, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Michael lagi, potret berkenaan bukanlah yang pertama pernah dihasilkannya, sebaliknya sebelum ini beliau pernah menghasilkan gambar menggunakan lebih 620 dan 300 biji kopi tempatan bagi lakaran Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan potret Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

hasilkan-potret-kp-kesihatan-pemuda-ini-guna-4000-biji-kacang-hijau
Sumber: Instagram (mycurlfoo)

Sehubungan dengan itu, ianya tular dalam media sosial hingga menyebabkan ramai menghubunginya bagi mendapatkan perkhidmatan untuk menghasilkan potret masing-masing.

Menurut Michael, melukis potret menerusi bahan makanan adalah sebagai sesuatu sifat yang istimewa dan unik. Namun, dia juga perlu memastikan bahan yang digunakan bersifat kering agar tidak mudah busuk, basi serta tahan lama apabila disimpan.

“Sudah lama saya melibatkan diri dalam bidang lukisan dengan menggunakan pelbagai medium. Bagi saya, untuk melukis sesiapa sahaja boleh melakukannya, tetapi menggabungkan antara bahan makanan dengan lukisan, bukan semua orang mampu lakukan.

“Ianya bukan sahaja memerlukan ketelitian dari aspek pemilihan bahan, masa dan juga kesabaran amat dititiberatkan”, jelasnya lagi.

Beliau menceritakan serba ringkas proses karya itu yang biasanya hanya menggunakan kertas lukisan bersaiz A3 dan mencorak potret yang diingini. Dengan berpandukan gambar, beliau menggunakan bahan makanan yang dipilih seperti biji kopi. Sebelum dikeringkan, bahan makanan itu dilekatkan dengan menggunakan ‘Arts & Crafts’.

Lanjutan daripada itu, jika berpeluang suatu hari nanti, Foo berhasrat untuk menyerahkan karya yang dihasilkannya itu sebagai tanda penghargaan terhadap jasa yang dicurahkan dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh mereka kepada pemimpin nombor satu negara dan Dr Noor Hisham.

Bukan itu sahaja, perancangan pemuda itu suatu hari nanti adalah melukis potret penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dengan menggunakan biji saga.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca