Hasil Rekaan Anak Malaysia, Lukisan Kanak-Kanak Ini Dipilih Sebagai Maskot Sukan Komanwel Birmingham 2022

Lukisan kanak-kanak kelahiran Malaysia yang mene­tap di Britain dipilih menjadi maskot rasmi Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan berlangsung pada tahun depan.

Maskot rasmi yang baru didedahkan itu cukup istimewa kerana ia bukan sahaja hasil rekaan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun tetapi pencetus ilham itu merupakan anak Malaysia.

Sumber: IWBF

Maskot bernama Perry itu direka oleh Emma Lou dari Bolton, Greater Manchester selepas memenangi pertandingan melukis maskot peringkat kebangsaan.

Difahamkan, ibu bapanya berpindah dan menetap ke United Kingdom pada 2007.

Nama Perry yang dipilih merujuk kepada Perry Barr di Birmingham iaitu lokasi Alexander Stadium yang akan menjadi tuan rumah acara pembukaan dan penutupan temasya itu.

“Saya berasa seperti sedang bermimpi apabila diberitahu lukisan saya dipilih sebagai maskot rasmi sukan Komanwel 2022.

“Saya memilih maskot lembu kerana Bullring adalah mercu tan­da Birmingham dan saya teruja untuk masyarakat luar melihat maskot rekaan saya di temasya itu kelak,” kata Emma.

Ketua Eksekutif Sukan Komanwel Birmingham 2022, Ian Reid menjelaskan bahawa Perry menepati ciri-ciri maskot yang diinginkan iaitu berwarna-warni, bertenaga serta mewakili komuniti Birmingham moden dan West Midlands.

“Perry meraikan kepelbagaian, warisan komuniti dan wilayah kita serta masa depannya.

Mulai hari ini, Perry akan menjadi ikon yang kuat untuk Birmingham 2022 dan akan kerap dilihat orang ramai menjelang temasya itu nanti,” kata Reid lagi.

Sukan Komanwel Birmingham akan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos tahun depan akan menjadi acara sukan paling mahal yang diadakan di Britain sejak Olimpik London 2012.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca