Hasil 5 Tahun Menabung, Nenek Pengutip Sampah Ini Sumbang RM3 Ribu Demi Ibadah Korban

Hari Raya Aidiladha tahun ini merupakan detik yang cukup bermakna buat seorang warga emas yang dikenali sebagai nenek Sahnun yang menetap di Kota Mataram, Indonesia.

Walaupun kerjanya hanya sebagai pemungut sampah tetapi dia berpeluang melakukan ibadah korban hasil daripada wang simpanan yang diperoleh menerusi jualan barang kitar semula.

Kisah wanita yang berusia 60 tahun berkenaan telah tular apabila dia memberi sumbangan sejumlah 10 juta Rupiah (RM3 Ribu) kepada sebuah madrasah sempena raya haji. Ketika ditemu ramah, dia hanya memaklumkan bahawa perkara tersebut sudah menjadi impiannya sejak sekian lama lagi.

Setiap hari, nenek Sahnun akan keluar mencari rezeki dengan mengutip bahan-bahan terbuang yang boleh dijual semula demi kelangsungan hidupnya. Malah, dia sanggup berjalan kaki sejauh 3 kilometer jika rezekinya pada hari itu belum cukup memadai dan dia akan tumpang tidur di mana-mana tempat yang selamat.

Sebelum ini, nenek Sahnun tinggal di kawasan perkuburan Hindu. Seorang warga di situ yang berasa kesian dengan nenek Sahnun kemudiannya memberikan tumpangan tempat tidur kepadanya di kios nasi lemaknya.

Ternyata hasrat mulianya mengumpul duit selama 5 tahun telah menyentuh hati pihak madrasah tersebut. Baru-baru ini, nenek Sahnun telah menerima satu lagi berita gembira apabila dia ditawarkan pakej umrah oleh sebuah agensi perkhidmatan Umrah dan Haji dari Jakarta.

Menurut wakil syarikat terbabit, pihak mereka terinspirasi dengan semangat yang ditunjukkan nenek Sahnun demi jalan Allah dan membahagiakan orang lain. Warga emas tersebut dijangka akan ke Tanah Suci pada November ini bersama-sama beberapa orang pengiring memandangkan kondisinya yang agak membimbangkan.

Awalnya, didakwa majlis penyerahan hadiah tersebut berlangsung di madrasah yang menerima sumbangan itu. Namun, mereka terpaksa melakukan majlis itu di sebuah warung kerana difahamkan bahawa kaki kanan nenek Sahnun telah digigit anjing liar ketika mengutip barang-barang. Walaupun dia menganggap perkara itu dugaan biasa sewaktu melakukan kerja hariannya namun pihak syarikat itu terus membawanya ke pusat rawatan terdekat untuk mengambil suntikan anti-rabies.

Tabahnya nenek Sahnun dalam menghadapi kehidupan seharian seorang diri tanpa keluarga di sisi. Kalau penulis yang menghadapinya belum tentu dapat secekal nenek Sahnun.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca