Harus Bayar RM1 Untuk Masuk Ke Bilik Pengantin, Ini Adat Perkahwinan Suku Kaum Sungai Makiang Tongod

Suku kaum Sungai Makiang Tongod merupakan salah satu etnik yang terdapat di Sabah. Tergolong dalam etnik Kadazan-Dusun kerana mempunyai persamaan dalam adat resam dan penggunaan bahasa, kaum ini kaya dengan adat resam tersendiri terutama sekali dalam upacara perkahwinan.

Berikut merupakan adat istiadat perkahwinan suku kaum Sungai Makiang yang harus dipatuhi oleh mana-mana pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga

1. Merisik (Manggilung)

Seperti mana adat perkahwinan di Semenanjung Malaysia, langkah pertama dalam upaca perkahwinan masyarakat Sungai Makiang ialah merisik. Perkara ini dilakukan oleh seorang lelaki setelah dia bertemu dengan gadis yang ingin dijadikan calon isteri.

Kebiasaannya, ketua kampung berperanan sebagai orang tengah dalam semua urusan antara kedua-dua pihak bakal pengantin.

Keluarga pihak perempuan juga memainkan peranan dalam tradisi ini. Mereka perlu memberi jawapan sama ada mereka menerima ataupun menolak lamaran tersebut dalam tempoh tujuh hari.

Hal ini dikatakan demikian kerana, sekiranya pihak perempuan tidak memberi jawapan sehingga tempoh yang ditetapkan, mereka akan dianggap telah mempermainkan risikan daripada pihak lelaki. Barangan yang diberikan kepada keluarga perempuan juga harus dipulangkan dan permohonan maaf harus dilakukan.

2. Meminang (Momogong) dan bertunang (Mupogong)

Sekiranya risikan diterima, proses seterus yang akan dilakukan adalah meminang dan bertunang.

Dalam majlis momogong, perbincangan jenis-jenis barang yang akan diserahkan kepada pihak pengantin perempuan akan dilakukan. Antara barang yang diminta oleh bakal pengantin perempuan suku kaum Sungai Makiang Tongod kepada pihak lelaki ialah parang dan tempayan.

Apabila pasangan sudah ditunangkan, pengantin lelaki perlulah membina rumah sekiranya pasangannya tidak mempunyai kediaman sendiri. Perkahwinan tidak boleh dijalankan selagi rumah belum didirikan.

Terdapat juga pantang larang yang perlu dipatuhi oleh pasangan bertunang sebelum mereka berkahwin. Misalnya, bakal pengantin perempuan perlu mendapatkan kebenaran tunangnya terlebih dahulu sebelum pergi ke tempat lain. Hal ini bagi mengelakkan bakal pengantin perempuan itu diganggu oleh lelaki lain dan boleh menyebabkan putus tunang (mupuas).

3. Malam berinai (Manulau)

Malam berinai atau Manulau merupakan upacara yang dilakukan pada malam sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan. Majlis ini hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat pihak bakal pengantin.

Dalam majlis ini, bakal pengantin akan berinai di kuku (babacal) dan berbedak (babadak). Selain itu, acara mencukur kening bakal pengantin juga akan diadakan bagi mencantikkan dan merapikan kening bakal pengantin perempuan.

Kening bakal pengantin perempuan akan dirapi (muatis) dan rambut juga akan digunting (maggunting abuk). Ritual ini bertujuan untuk menambahkan seri wajah bakal pengantin perempuan agar kelihatan cantik dan anggun.

4. Memainkan irama muzik tradisional (Mutogunggu)

Pada hari majlis perkahwinan dilangsungkan, pengantin lelaki akan memainkan irama muzik tradisional (mutogunggu) sebelum berangkat ke rumah pasangannya.

Ketibaan pengantin lelaki di rumah pihak perempuan juga disambut dengan memainkan muzik tradisional. Barang yang dibawa bersama pihak pengantin lelaki ialah temayan (Siburan), parang (Gayang atau badung), lembing (gatan), dan periuk.

5. Membuka pintu bilik (Sungkap pintu)

Sungkap pintu merupakan proses yang dilakukan pengantin lelaki untuk melihat pasangannya.

Untuk memasuki bilik tersebut, pengantin lelaki perlu memberikan RM1 kepada kedua mertuanya untuk membuka pintu bilik (sungkap pintu), iaitu tempat pengantin perempuan berada.

Setelah berada di dalam bilik, pengantin lelaki pula akan membayar RM10 untuk membuka kelambu yang dikenali sebagai upacara (Sungkap kelambu).

Setelah itu, pengantin lelaki diminta untuk menyerahkan pencucuk sanggul (titimbak) untuk membuka tudung yang menutupi wajah pengantin perempuan kemudian memakaikannya pada rambut isteri.

Selain itu, pengantin lelaki juga akan menyerahkan kain sarung dan baju kepada pasangannya yang akan dipakai selepas mandi. Majlis perkahwinan suku kaum Sungai Makiang Tongod kebiasaannya memakan masa kira-kira 12 jam iaitu dari jam 1 tengah hari hingga 12 malam.

Kesimpulannya, masyarakat di Malaysia ini kaya dengan adat istiadat yang tersendiri. Justeru, amalan-amalan ini haruslah diteruskan oleh generasi akan datang untuk mengelakkannya pupus ditelan arus kemodenan.

Penulis

1. Mohad Ezaidi bin Wahap adalah pelajar Fakulti Filem, Teater, dan Animasi
2. Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca