KONGSIKAN

Ninja Malaysia, Mat Re­dho atau nama sebenarnya Mohd. Redha Razlan, 30, berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila menjuarai Ninja Challenge League (NCL) 2018 yang berlangsung di Perth, Australia baru-baru ini. Mat Redho merekodkan catatan masa terbaik 5:13.09 di tempat pertama dan meninggalkan American Ninja Warrior, Jake Murray di tempat kedua ( 5:23.62) bagi cabaran Flying Bar Start, manakala Cameron D’Silva dari Australia di tempat ketiga pula mencatatkan masa 3:10.35 untuk cabaran 5th Cliff Hanger. Menurut beliau, cabaran paling getir yang dilaluinya adalah mengamalkan diet selama lebih sebulan untuk menyertai pertandingan itu. Menurut beliau lagi, di sebalik kejayaan bergelar juara, ia sebenarnya merupakan penyertaan kali pertama beliau dalam NCL.

Menariknya, Mat Redho yang berjaya menaiki podium pertama dengan bangga mengibarkan Jalur Gemilang ketika menerima hadiah dan dia turut ditemani isteri serta anak-anaknya pada kejohanan tersebut.

Menerusi akaun Instagramnya, dia mengucapkan syukur terutamanya kepada isterinya yang sentiasa menyokong perjuangannya selama ini. Di samping itu, Mat Redho juga menyebut bahawa beliau tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan tajaan luar.

“Alhamdulillah, setakat ini sahaja yang saya mampu. Terima kasih pada isteri yang selalu teman dan jerit sambil dukung anak kami.”

“Kami ada tabung sendiri untuk keluar negara, macam biasa kalau nak ke pertandingan luar pasti pecah tabung punya… dalam masa sama tak pernah pun putus asa cuba nasib untuk ditaja.”

 

Bagaimanapun, Mat Redho menjelaskan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini pernah menaja penyertaannya ke pertandingan seperti ini  pada tahun 2017. Beliau berharap KBS akan tetap menaja beliau sebagai atlet negara.

Sebelum ini, beliau juga pernah menyertai American Ninja Warrior Musim ke 9 dalam kumpulan Asia, Sasuke Asean Cup 2014 dan Sasuke Vietnam 2016, 2017 dan 2018. Mat Redho juga pernah menjadi Juara Fear Factor Selebriti Malaysia musim kedua berpasangan dengan pelakon Erin Malek pada 2014.

Kejayaan beliau turut mendapat respond positif daripada netizen. Rata-rata Netizen melahirkan rasa bangga dengan kejayaan yang dikecapi itu yang telah membanggakan rakyat Malaysia.

Malah ruangan komen Instagramnya dipenuhi dengan sokongan dan ucapan tahniah daripada para pengikut kerana tidak berputus asa dalam mengharumkan nama Malaysia dalam sukan lasak ini.

“Terima kasih, harumkan nama Malaysia,” tulis azian_abubakar

“Alhamdulillah… tahniah!,” tulis azlinjais

“Bangga dengan anda… tahniah,” tulis cddinchimm

“Tahniah, abang memang layak, memang sangat terbaik,” tulis naim.zi.

 

Penulis turut berasa bangga atas kejayaan beliau ini dan semoga usahanya untuk mendapatkan tajaan mendapat perhatian pihak yang sepatutnya.