Haruan Makan Anak, Lelaki Ini Tergamak ‘Ratah’ Darah Daging Sendiri Hingga Hamil

Seorang lelaki bagaikan ‘haruan makan anak’ apabila dia tergamak merogol darah daging sendiri sehingga anaknya yang berusia 16 tahun itu ada ‘isi’. Remaja malang berkenaan disahkan hamil tujuh minggu gara-gara perbuatan keji bapanya itu. Kejadian ini berlaku di sebuah kampung dekat Kuala Terengganu.

Lebih menyedihkan, syaitan bertopengkan manusia berkenaan menjadikan anak keempat daripada lima beradik itu sebagai tempat memuaskan nafsu serakah sejak mangsa berusia 12 tahun lagi iaitu selepas setahun isterinya menghembuskan nafas terakhir.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu iaitu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos, perbuatan terkutuk lelaki berusia 50-an itu terbongkar selepas mangsa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Sabtu kira-kira jam 9.30 malam.

“Mangsa ditemani ibu saudaranya datang ke Bahagian Trauma dan Kecemasan HSNZ kerana mengadu muntah dan sakit di bahagian perut,” katanya.

“Mangsa beritahu doktor bertugas dia dirogol bapa kandungnya dua bulan lepas di rumah mereka sebelum laporan polis dibuat untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut dijalankan,” tambahnya lagi.

Mangsa dipercayai dirogol buat kali pertama ketika berusia 12 tahun dan mimpi ngeri itu berulang sejak hari itu.

“Kini mangsa tinggal bersama suspek dan ibu tirinya serta adik-beradik yang lain. Mangsa mendakwa sudah berhenti sekolah sejak April lalu kerana faktor kewangan suspek yang tidak bekerja.”

“Dia turut mendakwa tidak menceritakan dan memberitahu kepada ahli keluarga lain tentang perbuatan suspek kerana sentiasa diugut ayahnya itu,” katanya.

Suspek kini sedang diburu selepas dipercayai melarikan diri sejurus mendapat tahu perbuatan terkutuknya itu terbongkar. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca