Harimau Malaya Mengaum, Garuda Patah Sayap Di Bukit Jalil

Perlawanan antara Malaysia dan Indonesia bagi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi berakhir dengan kemenangan 2-0 berpihak kepada Harimau Malaya.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad Harimau Malaya turun dengan formasi menyerang 4-3-2-1 manakala pengendali pasukan Garuda pula mempertaruhkan formasi 4-2-3-1 dalam usaha untuk menekan benteng pertahanan pasukan negara menerusi bahagian sayap.

Pertembungan kali ini kelihatan seimbang di mana kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sejak wisel dibunyikan.

Kubu pasukan negara hampir dibolosi pada minit ke-22, namun serangan daripada pasukan Indonesia itu berjaya dihalang oleh pemain pertahanan, Shahrul Saad. Keadaan terkawal itu sekali gus membuatkan anak buah Tan Cheng Hoe menarik nafas lega.

Jurulatih Harimau Malaysia terpaksa melakukan pertukaran pemain pada minit ke-23 dengan memasukkan Farizal Marlias bagi menggantikan penjaga gol Khairulazhan Khalid yang mengalami kecederaan.

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid membuka tirai jaringan dengan penuh bergaya menerusi satu sepakan percuma yang menakjubkan pada minit ke-30. Rata-rata peminat bola sepak tanah air memuji gol yang dijaringkan oleh penyerang kelahiran Terengganu itu.

Stadium Nasional Bukit Jalil yang dipenuhi lebih 80,000 penyokong bergegar selepas sepakan kaki kiri Safawi dari penjuru kanan kotak penalti gagal diselamatkan oleh Muhammad Ridho yang turun sebagai penjaga gol utama pasukan Indonesia pada malam ini.

Jaringan itu telah mencetus sedikit kekecohan di mana berlaku perbalahan antara penyokong Malaysia dan Indonesia sehingga memaksa pasukan keselamatan tampil untuk meleraikan keadaan.

Bersambung babak kedua, pasukan Indonesia cuba memperkemas rentak dan melancarkan serangan awal ke kubu Malaysia, namun keampuhan benteng pertahanan skuad negara berjaya menghalang serangan berbahaya pasukan lawan.

Minit ke-66 perlawanan menyaksikan kad kuning pertama dilayangkan oleh pengadil di mana ia menjadi milik pemain negara, Brendan Gan selepas melakukan kekasaran terhadap pemain Indonesia.

Pasukan Garuda cuba untuk menyamakan kedudukan menerusi percubaan dari luar kotak penalti oleh Bayu pada minit ke-67 namun sepakan itu berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gawang negara, Farizal Marlias.

Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi bergegar apabila Safawi Rasid berjaya menjaringkan gol kedua skuad kebangsaan menerusi satu rembatan yang cukup padu dari jarak dekat. Jaringan tersebut berpunca daripada gerakan satu-dua dengan Syahmi Safari dari sebelah kanan gawang pasukan Indonesia.

Sepakan percuma sekali lagi diberikan kepada skuad Harimau Malaya pada minit ke-76. Namun, sepakan yang diambil Safawi itu sedikit tersasar di atas palang gawang gol Indonesia.

Kekasaran penjaga gol negara ke atas penyerang Indonesia di dalam kawasan penalti menyaksikan skuad Garuda dihadiahkan sepakan penalti pada minit yang ke-82. Peluang keemasan untuk merapatkan jurang kedudukan dengan Malaysia bagaimanapun berkecai selepas Farizal bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan penalti tersebut. Tamat perlawanan, Malaysia 2 Indonesia 0.

Syabas diucapkan kepada skuad Harimau Malaya atas kemenangan bergaya pada malam ini. Selamanya Harimau Malaya!

Artikel Lain Untuk Di Baca