FIFA telah mengeluarkan ranking terbaru di laman sesawangnya, www.fifa.com bagi bulan Februari 2019 yang menyaksikan kedudukan Malaysia kekal di tangga ke-167 daripada keseluruhan 211 buah negara dalam senarai.
Ranking FIFA yang dikeluarkan pada Khamis, 7 Februari itu merekodkan Malaysia dengan kutipan 985 mata, berada dalam kelompok negara seperti Singapura (165), Gambia (166), Papua New Guinea (168), Fiji (169) dan Kemboja (172).
Dalam kalangan negara ASEAN di bawah konfederasi AFF, Vietnam paling unggul di tempat teratas dengan berjaya mengekalkan tempat 100 terbaik setelah naik 1 anak tangga dari kedudukan ke-100 ke tangga ke-99. Ia diikuti oleh Thailand di tangga ke-115, Filipina (123), Myanmar (138) dan Indonesia (159). Laos, Brunei dan Timor Leste kekal berada di kelompok bawahan ranking dengan masing-masing di tangga ke-184, 195 dan 196.
Qatar yang baru dinobatkan selaku Juara Piala Asia naik 38 anak tangga dengan menempatkan diri mereka di tangga ke-55 – kedudukan terbaik mereka sejak tahun 1993. Ia jelas melaungkan mesej besar akan kesungguhan mereka dalam mempersiapkan pasukan menjelang Piala Dunia 2022 di mana mereka bakal menjadi tuan rumah buat julung kalinya.
Pasukan lain yang mencatatkan keputusan baik semasa aksi Piala Asia bulan lepas turut merekodkan perubahan kedudukan pada ranking kali ini. Antaranya adalah Jepun yang naik 23 anak tangga ke kedudukan ke-27, Korea Selatan naik ke tangga ke-38 dan UAE ke tangga ke-67.
Berikut adalah ranking 10 teratas yang tidak merekodkan sebarang perubahan daripada kedudukan sebelum ini.