Harimau Malaya Di Zoo New York Sah Positif COVID-19

Peningkatan penularan wabak COVID-19 di antara manusia dengan manusia sudah cukup membimbangkan. Hari ini, satu khabar berita mengejutkan seluruh dunia apabila seekor harimau Malaya di Zoo Bronx, New York telah disahkan positif COVID-19.

Hal ini telah dilaporkan oleh Ketua Veterinari Zoo Bronx, Paul Calle pada Ahad yang lalu selepas harimau itu mengalami batuk dan kurang selera makan.

Harimau yang diberi nama Nadia itu berkemungkinan menjadi kes haiwan pertama yang jatuh sakit setelah dijangkiti koronavirus daripada manusia.

Sebelum ini, beberapa anjing peliharaan di Hong Kong dan seekor kucing di Belgium dilaporkan dijangkiti COVID-19 daripada pemilik mereka namun tiada simptom yang ketara.

Menurut Paul Calle, kes Nadia yang berusia 4 tahun itu merupakan kes yang unik kerana ia berjangkit selepas terdedah kepada seorang kakitangan positif yang tidak menunjukkan sebarang simptom.

Pihak zoo juga akan berkongsi kajian mereka bersama zoo dan institusi yang lain untuk mendapatkan pemahaman yang lebih jelas.

Di samping itu, tiga harimau lain dan tiga singa dikatakan turut mengalami batuk kering namun tidak menjalani ujian COVID-19 seperti Nadia. Hal ini kerana hanya Nadia yang mengalami simptom paling teruk dan sudah mula hilang selera makan.

Pihak zoo juga cuba untuk mengelak daripada menguji harimau dan singa lain kerana tidak mahu meletakkan mereka di bawah pengaruh anestesia.

Sebelum menjalani ujian COVID-19, Nadia melakukan ujian X-ray, ultrabunyi dan ujian darah untuk memahami penyakitnya sebelum mengetahui dia dijangkiti.

Harimau itu dikatakan mula menunjukkan simptom pada 27 Mac dan sehingga kini Zoo Bronx ditutup sejak pertengahan Mac.

Untuk rekod, kajian sebelum ini masih tidak mempunyai bukti yang menunjukkan COVID-19 boleh berjangkit dari haiwan ke manusia.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca