Hari Kebangsaan Disambut Dengan Norma Baharu

Sambutan Hari Kebangsaan 2020 pada hari ini telah melakar sejarah tersendiri apabila ia diadakan dengan amalan norma baharu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang dikuatkuasakan sehingga 31 Disember 2020 ini.

Jika sambutan Hari Kebangsaan sebelum ini dimeriahkan dengan perbarisan dan perarakan pasukan beruniform serta agensi kerajaan dan swasta, namun pada tahun ini perarakan seumpamanya tidak diadakan dan digantikan dengan acara yang membabitkan pergerakan dan jumlah hadirin yang minimum.

Acara yang bermula jam 8 pagi tadi di Dataran Pahlawan, Putrajaya itu telah membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tiada penyertaan daripada komponen lain bagi menjaga penjarakan fizikal susulan pandemik COVID-19.

Acara berkenaan telah dimulakan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Dataran Pahlawan dengan disambut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut sama menyambut keberangkatan Seri Paduka berdua ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020.

Ia kemudian diikuti dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ sebelum Seri Paduka berdua berangkat ke Dewan Serbaguna untuk Al-Sultan Abdullah menyampaikan Titah Diraja Sempena Hari Kebangsaan 2020.

Sebaik selesai Titah Diraja, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta orang kenamaan telah menyaksikan siaran langsung sambutan Hari Kebangsaan ke-63 di layar besar yang disediakan oleh RTM.

Untuk pengtetahuan, tema Hari Kebangsaan tahun ini ialah ‘Malaysia Prihatin’ yang membawa maksud cukup mendalam kepada rakyat Malaysia selari dengan keadaan negara yang masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan virus COVID-19. Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca