Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan dengan menjalankan pemeriksaan di restoran KFC, selepas tular di media sosial tentang kenaikan harga makanannya yang dianggap ‘melampau’ sehingga menimbulkan pelbagai rungutan peminat tegar ayam goreng restoran tersebut.
Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, Pegawai KPDNHEP telah mulakan pemeriksaan terhadap restoran KFC pada hari khamis. Beliau turut memberitahu bahawa mereka akan melakukan pemeriksaan terhadap restoran McDonalds juga.
Individu yang memuat naik gambar papan menu KFC dengan harga baharu itu, Khalid Johar, meluahkan ketidakpuasan hatinya tentang kenaikan harga yang dikatakan melampau.
“Wow! Melampau naw harga KFC nih. Saya terperanjat hari ini pergi KFC tengok harga set menunya dah naik tiga ringgit lebih.
“Hari tu rasanya baru saja pergi makan, memang ingat sangat harganya yang sebelum ini. Mesti ramai yang tak perasan kan? Main order saja. Tak ada pula yang nak komplen atau boikot,” selorohnya.
Netizen menganggap harga menu itu tidak berbaloi kerana hargainya sama seperti membeli seekor ayam mentah.
KFC turut memaklumkan bahawa pihaknya telah melakukan sedikit penyelarasan pada harga jualannya dengan memasukkan SST sebanyak 6 peratus, berkuatkuasa mulai Disember 2018.
KFC dalam kenyataannya berkata, terdapat beberapa pelarasan kecil bagi harga produknya untuk memastikan syarikat berkenaan dapat terus menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
“Untuk tujuan ini, kami berharap para pelanggan memahami menu kami telah disediakan secara khusus untuk menawarkan nilai bagi memenuhi kehendak pelanggan yang berbeza,” kata kenyataan itu.
Mengulas berita yang tular di media sosial yang membandingkan harga Snack & Dinner Plate, katanya, pakej yang ditawarkan tersebut tidak pernah dijual pada harga RM12.50 sejak dilancarkan pada tahun 2015.
Bagaimanapun perkara ini masih di dalam pemeriksaan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).