Harga Cecah Ribuan Ringgit, Durian Tahi Gajah Tetap Jadi Rebutan Para Penggemar Durian

Durian Tahi Gajah, bunyinya agak pelik namun suatu ketika dahulu ia pernah mendapat sambutan hangat meskipun harganya sangat tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit untuk satu biji sahaja.

Nur Akmal Abdullah yang merupakan Pegawai Pertanian di Segamat berkata kewujudan durian itu bukan gurauan sebaliknya ia pernah terkenal di daerah ini sekitar tahun 1980.

Asalnya durian ini ditelan bulat-bulat oleh gajah liar sebelum dibuang bersama najisnya.

“Difahamkan durian itu kemudian akan dikutip oleh individu yang mengekori gajah itu sebelum ia dibersihkan,” katanya.

Kemudian durian ini dibeli oleh ‘tauke balak’ yang sanggup berhabis duit untuk merasai kenikmatan durian itu.

“Durian ini dianggap istimewa kerana mengalami proses pencernaan di dalam perut gajah. Pembeli biasanya percaya ia mempunyai khasiat yang tidak dimiliki durian lain,” jelasnya.

Menurutnya, harga durian yang dihasilkan di daerah ini kekal tinggi berikutan permintaan yang memberangsangkan oleh penggemar durian.

“Penghasilan durian terbaik Segamat tidak berlaku sekelip mata berikutan ia mengambil masa puluhan tahun iaitu daripada hasil kerjasama pekebun, jabatan pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) dan pelbagai agensi berkaitan.

“Di daerah ini sahaja mempunyai 4,225.31 hektar kebun durian yang berdaftar sehingga akhir 2018 lalu membabitkan pengeluaran berpuluh juta tan durian setiap musim,” jelasnya lagi.

Menurutnya, antara jenis durian klon popular yang boleh didapati di sini ialah Musang King, duri hitam, D168, D24, udang merah dan beberapa lagi jenis lain yang kini dalam proses penjenamaan dan yang terkini iaitu D204.

“Rasa pahit dan sedikit payau selain isi tebal menjadi dambaan pembeli dari luar daerah ini termasuk dieksport hingga ke Singapura.”

“Harga sekilogram durian berkualiti tinggi mampu mencecah puluhan hingga ratusan ringgit namun biasanya pelanggan luar tidak akan bersungut berikutan rasanya yang istimewa,” tambahnya.

Kini kerajaan sedang mengusahakan persetujuan dari China untuk mengeksport durian yang dianggap tuah dan mampu meningkatkan pendapatan pekebun durian.

Artikel Lain Untuk Di Baca