Harga Ayam Serendah RM8 Sekilo, Program Jualan Keluarga Malaysia Menggembirakan Rakyat Malaysia

Program Jualan Keluarga Malaysia yang diadakan di semua 222 kawasan Parlimen secara serentak bermula pada hari Sabtu telah mendapat sambutan yang baik daripada penduduk.

Program tersebut yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob pada Khamis lalu adalah bertujuan untuk meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Program Jualan Keluarga Malaysia ini menawarkan barangan keperluan harian pada harga yang murah, antara 20 dan 50 peratus lebih murah dari harga biasa. Hal ini amat menggembirakan kalangan penduduk terutamanya dari pengguna yang tergolong dalam kalangan B40.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Malam Anugerah Francais Malaysia ke-23 2021 di Putrajaya. Sumber: mytimes.asia

Sebagai contoh, di Lubok Jong yang berada dalam kawasan Parlimen Rantau Panjang, seorang penoreh getah Mat Isa Muhammad, 59,  berkata harga ayam yang dijual di jualan ini adalah paling murah yang dia temui.

“Harga ayam paling murah pernah saya dapat hari ini iaitu RM7.90 sekilogram berbanding sebelum ini mencecah RM11 sekilogram.”

Dia kemudiannya mengambil peluang ini untuk terus mendapatkan beberapa ayam dan bahan keperluan lain sebagai stok sepanjang musim tengkujuh ini.

Manakala seorang ibu kepada empat orang anak, Nik Aqilah Nik Mustapa, 38, berkata melalui program ini, banyak penjimatan yang dapat dibuat.

“Hari ini saya beli ikan, ayam, telur minyak masak, tepung dan macam-macam lagi dengan harga yang murah,

“Gembira sangat, sebab duit yang lebih dapat digunakan untuk urusan lain kerana sekarang seperti yang kita tahu semua barang naik harga,” katanya.

Pematuhan SOP ditetapkan dan dipantau sepanjang Program Jualan Keluarga Malaysia di Lubok Jong, Rantau Panjang, Kelantan pada hari Sabtu. Sumber: Sinar Harian

Selain daripada Kelantan, penduduk di kawasan lain juga memberikan respon positif terhadap program ini.

Kata Hasnah Mohd Ali, 59, dari Taman Berjaya Permai, Kuantan, Pahang, inisiatif kerajaan untuk mengadakan program ini adalah tepat pada masanya. Susulan kenaikan harga barang keperluan seharian program ini amatlah membantu dalam meringankan beban rakyat.

Selain daripada ayam, sayur seperti sawi, kangkung dan bayam juga dijual dengan harga yang murah. Sawi dijual dengan harga RM7 sekilogram berbanding RM10 di pasaran biasa, dan kangkung serta bayam dijual RM6 sekilogram berbanding RM8 sekilogram pada harga pasaran. Ikan-ikan seperti ikan mackerel, sardin putih, mambong dan cencaru pula dijual pada harga RM10 sekilogram.

Dengan harga yang amat rendah berbanding harga pasaran, tidak pelik apabila 75 peratus stok barangan keperluan harian di perkarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, Perak, habis terjual dalam masa empat jam sahaja.

Pengarah KPDNHEP Negeri Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro (kanan) dan Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Johor, Mohd Hanizam Kechek (tengah) diiringi Pengurus Besar Econsave Cash & Carry Cawangan Selatan Mas Imran Adam (kiri) ketika menghadiri Program Jualan Keluarga Malaysia di Pasar Raya Econsave, Taman Daya. Sumber: Sinar Harian

Program Jualan Keluarga Malaysia ini menepati matlamat kerajaan untuk meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang. Program ini disasar untuk diadakan dua kali setiap bulan sehingga Februari tahun depan, bergantung kepada situasi semasa harga barang. Dan akan memfokuskan kepada kawasan yang mempunyai ramai penduduk daripada golongan B40 dan M40.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca