“Harap Dapat Duduk Semeja.” – 3 Anak Muda Ini ‘Kembalikan’ Mural Potret Gergasi Untuk Orang Ramai

Sebelum ini, tular berita mengenai kejadian vandalisme ke atas sebuah mural gergasi yang melibatkan beberapa pemimpin negara. Walau bagaimanapun, insiden tersebut tidak mematahkan semangat tiga anak muda yang menghasilkan mural itu.

Buktinya, sebuah lagi mural potret gergasi telah dilukis oleh mereka. Namun, kali ini mereka membawa semangat petugas barisan hadapan (frontliners) yang telah berpenat lelah dalam usaha memerangi wabak COVID-19.

Mural potret gergasi kali ini dilukis di dinding sebuah rumah kedai berhampiran sebuah restoran di Seksyen 4, Kota Damansara, Selangor. Lukisan mural tersebut memaparkan potret gergasi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bersama beberapa petugas barisan hadapan yang lain.

Salah seorang pelukis mural tersebut, Muhammad Suhaimi Ali memberitahu bahawa projek tersebut telah ditawarkan oleh pemilik restoran, kira-kira seminggu sebelum kejadian lukisan mural mereka diconteng oleh individu tidak bermoral.

“Mural ini sebagai penghargaan kepada petugas barisan hadapan, bertemakan ‘Terima Kasih Frontliners’. Kami ambil masa kira-kira seminggu untuk menyiapkannya.

“Ini juga membuktikan bahawa kami lebih bersemangat untuk terus menghasikan karya seni menerusi lukisan mural yang lebih besar.” jelasnya.

Muhammad Suhaimi, 27 yang melukis bersama dua orang lagi sahabatnya, Muhamad Firdaus Nordin, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27 berkata, mural tersebut berukuran 16 kaki (4.9 meter) dan lebar 35 kaki (10.7 meter).

“Selain Dr. Noor Hisham, terdapat lapan lagi frontliners iaitu petugas kesihatan termasuk doktor dan jururawat, polis, tentera, bomba, dan penghantar makanan.

“Saya melukis potret Dr. Noor Hisham, anggota bomba dan penghantar makanan,” katanya yang menjadi pelukis mural sejak empat tahu lalu.

Muhammad Suhaimi yang telah melukis lebih 200 mural di seluruh negara itu bagaimanapun memberitahu, walaupun lukisan telah siap sepenuhnya, terdapat pembaharuan yang akan dibuat pada mural tersebut.

Anak kelahiran Seberang Takir, Kuala Terengganu ini memberitahu, menerusi perbincangan bersama pelanggannya, potret anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akan ditambah pada mural berkenaan.

“Ini akan menjadikan 10 frontliners kesemuanya termasuk Dr. Noor Hisham. InsyaAllah ia akan dilakukan seawal-awalnya pada minggu depan,” jelasnya.

Menurut Muhammad Suhaimi yang juga merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Seni di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, dia masih menaruh harapan untuk bertemu dengan Ketua Pengarah Kesihatan.

“Sebelum ini, masa saya lukis potret Dr. Noor Hisham di Shah Alam, beliau datang secara mengejut. Saya tak berkesempatan untuk berjumpa dengan beliau.

“Mural kali ini masih memaparkan potret Dr. Noor Hisham, jadi saya amat berharap untuk bertemu dengan beliau, dapat duduk semeja bersama kalau ada rezeki,” katanya.

Untuk rekod, sebelum ini lukisan mural yang dilukis tiga anak muda ini telah diconteng dengan menggunakan cat berwarna merah sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

Selain Dr. Noor Hisham, potret yang turut menjadi mangsa vandalisme adalah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Susulan daripada itu, lukisan di dinding tersebut telah dicat semula dengan cat berwarna putih oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sekaligus memadamkan kesemua potret.

Untuk baca artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca