Haram Tapi Halal, Ini Kisah Di Sebalik Nama Nasi Lemak ‘Babi’ Dekat Sea Park, Petaling Jaya

Orang Petaling Jaya mesti tidak asing lagi dengan Nasi Lemak Babi. Beberapa tahun yang lepas, nasi lemak ini pernah tular dan menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan warganet gara-gara namanya. Biasalah, orang kita kan pantang dengar nama babi. Lagi-lagi apabila ia dikaitkan dengan makanan yang sinonim dengan menu masakan orang Melayu.

Gerai Nasi Lemak Babi yang bertempat di Sea Park, Petaling Jaya ini turut dikenali sebagai Nasi Lemak Bumbung dan Nasi Lemak Maybank. Malah, ada juga yang memanggil gerai ini dengan nama Nasi Lemak Bak Kut Teh. Persoalannya, apa kaitan nasi lemak ini dengan haiwan bernama babi itu?

Percaya atau tidak, nama julukan ini bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk setempat, malah ia juga pernah menjadi nama ‘rasmi’ di beberapa aplikasi termasuklah Waze.

Berdasarkan beberapa sumber, ia disebut sebagai Nasi Lemak Babi kerana lokasinya terletak berdekatan dengan sebuah kedai yang menjual Bak Kut Teh iaitu sup tulang rusuk babi.

Ada juga yang mengatakan bahawa rasanya yang sangat sedap itu membuatkan ia diberi nama Nasi Lemak Babi. Walaupun ia digelar sedemikian, anda semua jangan risau. Ia dijamin halal. Bak kata orang, jangan menilai sesuatu dari luaran semata-mata. Namanya mungkin kedengaran agak haram tapi sebenarnya ia hanya sekadar nama sahaja. Dalam erti kata lain, tiada unsur babi pun di dalam nasi lemak itu.

Ramai yang berpendapat bahawa nama tersebut agak kurang manis kerana ia mungkin akan memberi bayangan bahawa ia mengandungi unsur babi di dalamnya. Pada pendapat penulis, semuanya bergantung pada diri kita sendiri untuk menilai sesuatu. Meskipun babi itu haram, ia juga makhluk Tuhan.

Lagipun, nama ini sudah sinonim dalam masyarakat kita. Nama rasmi gerai tersebut ialah Nasi Lemak Bawah Bumbung dan bukannya Nasi Lemak Babi. Gelaran Nasi Lemak Babi sememangnya sudah berlegar-legar dalam kepala mereka yang ingin menjamu selera di situ.

Sama kes macam penyanyi terkenal Indonesia iaitu Ariel, majoriti masih memanggilnya dengan nama Ariel Peterpan meskipun nama bandnya telah ditukar kepada Noah. Kesimpulannya, apabila sesuatu benda dah menjadi sinonim, sukar untuk kita mengubahnya.

Jadi, begitulah kisah di sebalik nama Nasi Lemak Babi. Mana yang belum cuba, anda semua wajib pergi rasa sendiri kelazatan nasi lemak ini. Satu pinggan confirm tak cukup!

Sebelum ini, kami juga pernah berkongsi tentang kisah di sebalik nama tempat. Anda boleh klik pada pautan di bawah untuk baca artikel tersebut:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca