Hanya Kerana Sebuah Baldi Oak, Sebanyak 2,000 Nyawa Melayang

Pertempuran Zappolino berlaku di negara Itali pada 15 November 1325 apabila seangkatan tentera dari Modena telah mencuri sebuah baldi oak daripada perigi utama yang terletak di bandar Bologna. Disebabkan keengganan tentera Modena untuk memulangkan baldi oak tersebut, tentera Bologna telah mengisytiharkan peperangan.

Peperangan ini berpunca daripada ketegangan antara penyokong Pope dan penyokong Empayar Suci Rom yang bertahan selama 300 tahun.

Bologna menyokong Pope manakala Modena menyokong Empayar Suci Rom. Disebabkan itu, Bologna berasa lebih tercabar apabila tentera Modena enggan memulangkan semula baldi tersebut.

Tentera Bologna berarak ke bandar Modena untuk bertempur bersama-sama dengan 32,000 bala tenteranya. Tentera Bologna terdiri daripada 30,000 orang tentera pejalan kaki dengan senjata yang berbeza dan juga 2,000 orang tentera berkuda.

Namun begitu, mereka tetap tewas kepada angkatan tentera Modena yang terdiri daripada 5,000 orang tentera pejalan kaki dan 2,000 orang tentera berkuda itu.

Sumber: Ancient Origins

Pertempuran itu berlangsung selama dua jam dan telah mengorbankan lebih kurang 2,000 orang tentera daripada kedua-dua pihak. Ada juga sumber yang mengatakan bahawa tentera Modena telah membawa balik sebuah baldi lain yang terletak di luar pagar bandar Bologna sebagai trofi.

Terdapat pelbagai spekulasi yang menyatakan bahawa baldi tersebut merupakan baldi yang dicuri. Tidak kurang juga, ada yang menyatakan bahawa baldi tersebut ialah baldi yang dimenangi.

Sehingga kini, baldi itu masih lagi dipamerkan di Torre della Ghirlandina, Modena. Torre della Ghirlandina merupakan menara loceng utama di bandar Modena.

Kesimpulannya, ribuan nyawa telah terkorban kerana sebuah baldi. Disebabkan itu, walaupun punca pertelingkahan kita sebesar zarah, kita patut selesaikan dengan cara yang baik sebelum lebih ramai orang yang tidak bersalah dikorbankan.

Artikel Lain Untuk Di Baca