Hanya Balut Kaki Guna Plaster Kerana Tidak Memiliki Kasut, Atlet Ini Tetap Berjaya Raih 3 Pingat Emas

Meskipun tidak memiliki kasut sukan dan hanya sekadar membalut jari kaki menggunakan plaster, ia sama sekali tidak mematahkan semangat seorang atlet Filipina yang berjaya membawa pulang tiga pingat emas dalam acara larian.

Kisah ini menjadi tular selepas Predirick B. Valenzuela memuat naik gambar atlet berkenaan iaitu Rhea Bullos yang hanya memakai plaster di sekeliling jari dan kakinya.

Apa yang mencuri perhatian warganet adalah apabila lambang Nike turut dilukis pada plaster itu.

“Inilah rekaan kasut Nike yang dihasilkan di Filipina. Tahniah Bullos atas kemenangan tiga pingat emas buat negara Filipina,” coret Valenzuela.

Walaupun Bullos yang berusia 11 tahun itu sangat berbakat dalam bidang sukan, amatlah sukar buat dia dan atlet Filipina yang lain untuk mendapatkan sokongan daripada mana-mana pihak terutamanya dalam menyediakan sebarang peralatan untuk beraksi pada sukan berprestij itu.

Perkongsian tersebut kini berjaya meraih lebih 2,000 tanda suka di laman Facebook. Tinjauan kami di ruangan komen mendapati rata-rata warganet berharap agar pihak kerajaan lebih menjaga kebajikan atlet yang telah mengharumkan nama negara.

“Walaupun tiada kasut namun dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh demi memberi kemenangan buat negaranya. Syabas! Kerajaan Filipina harus menjaga kebajikan para atlet kerana merekalah yang akan mengharumkan nama negara,” coret salah seorang pengguna laman itu.

“Terbaik Bullos atas usaha anda yang telah memberi tiga pingat emas. Saya mengharapkan agar kerajaan Filipina selepas ini tidak mengabaikan atlet sehingga begini,” tulis seorang lagi warganet.

Apa-apa pun, syabas diucapkan kepada Bullos!

Artikel Lain Untuk Di Baca