‘The Zodiac Killer’ adalah seorang pembunuh bersiri yang misteri dan masih belum dapat ditangkap sehingga kini atau dalam erti kata lain, masih berlegar-legar di luar sana. Dia menjalankan pembunuhan di San Francisco sekitar tahun 1960-an.

Sesuatu yang menarik berkaitan The Zodiac Killer adalah setiap pembunuhan yang dia lakukan akan disusuli dengan sepucuk surat cryptogram atau huruf-huruf yang disusun berbentuk simbol dan sampai kepada pihak polis dan akhbar.

Dalam surat tersebut, The Zodiac Killer akan menceritakan kronologi yang berlaku tentang pembunuhan yang dia lakukan bermula daripada identiti mangsa, cara pembunuhan dan dia turut mendedahkan dirinya sendiri namun sehingga kini, para penyiasat di seluruh dunia masih tidak dapat untuk memecahkan kod namanya yang disusun bermula huruf A, E dan N. Disebabkan itu, dia telah digelar sebagai ‘The Zodiac Killer”’.

Gambaran The Zodiac Killer dan contoh surat yang ditulis olehnya.

Gambaran wajah The Zodiac Killer telah pun diambil daripada salah seorang mangsa yang terselamat. Daripada pengamatan mangsa, The Zodiac Killer adalah seorang lelaki berkulit putih dan memakai kaca mata. Dia dianggarkan berumur dalam lingkungan 26 ke 30 tahun.

Gambaran tersebut sekali gus telah menjadi gambaran rasmi kepada pembunuh yang diberi gelaran The Zodiac Killer itu. Walaupun telah melakukan pembunuhan bersiri, namun dia seolah-olah mencabar pihak berkuasa untuk mencarinya dengan meminta akhbar-akhbar menyebarkan berita di muka depan melalui surat-surat yang dihantar.

Keratan akhbar mengenai The Zodiac Killer.

Setiap pucuk surat yang dihantar oleh The Zodiac Killer akan diletakkan logo yang mewakili identitinya. Dia turut mengugut supaya permintaannya ditunaikan atau dia akan melakukan pembunuhan yang seterusnya.

Sebagai contoh, dia pernah mengugut pihak akhbar untuk memaparkan kisahnya atau dia akan meletupkan sebuah bas sekolah dan membunuh kanak-kanak di dalamnya. Permintaan itu ditunaikan kerana bimbang ugutannya itu benar-benar menjadi realiti.

Simbol The Zodiac Killer

Namun, dalam banyak-banyak surat yang dihantar, terdapat salah satu yang menyatakan hasratnya agar orang ramai memakai simbol dirinya pada butang-butang baju namun tiada seorang pun yang mengendahkan permintaannya.

Seperti yang dia nyatakan, sekiranya permintaannya itu tidak dituruti, akan ada pembunuhan yang berlaku. Tidak lama selepas itu, berlaku satu pembunuhan yang melibatkan seorang anggota polis dan ia dilakukan oleh The Zodiac Killer.

Contoh surat ugutan bunuh daripada The Zodiac Killer.

Sehingga hari ini, The Zodiac Killer masih lagi tidak dapat ditangkap dan kes pembunuhannya masih dibuka. Beberapa suspek pernah juga dikenal pasti dan disoal siasat namun kesemuanya tidak menepati bukti yang dijumpai seperti tulisan dan DNA.

Kelicikan The Zodiac Killer telah mendapat liputan dari seluruh dunia dan menjadi sejarah hitam buat warga Amerika Syarikat terutamanya di kawasan San Francisco. Walaupun kes ini sudah lama berlalu, namun ia tidak mustahil untuk berlaku semula kerana berkemungkinan The Zodiac Killer yang sebenar masih hidup dan bebas di luar sana.

Penulis

  • Muhamad Fahmi Asyraf Zamri adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda