Syarikat penerokaan angkasa lepas, SpaceX, mengumumkan pada hari Isnin (14 Februari) bahawa mereka akan memulakan program baharu yang dipanggil Polaris pada tahun 2022 dengan dua penerbangan dirancang ke angkasa tahun ini.
Lapor Daily Star, salah seorang anak kapal penerbangan tersebut ialah jutawan Amerika, Jared Isaacman, yang tahun lepas menjadi orang pertama yang membeli penerbangan pelancongan angkasa lepas SpaceX yang pertama.
Manakala, juruterbang tentera udara Scott Poteet, dan jurutera Sarah Gillis dan Anna Menon akan menyertainya di atas kapal.

Misi itu akan menyaksikan kedua-dua jurutera tersebut mengambil bahagian dalam penerokaan angkasa komersil atau ‘jalan-jalan’ di angkasa yang pertama — satu pencapaian yang sehingga kini hanya pernah dicapai oleh agensi angkasa kerajaan.
“Kami akan pergi lebih jauh ke angkasa lepas daripada yang telah dilalui manusia sejak kali terakhir kita berjalan di bulan,” kata Jared.
Menurut usahawan itu, misi penerbangan tahun ini akan membantu firma itu bersedia untuk misi pertama roket Starship baharu yang sedang mereka bangunkan dengan kerjasama NASA pada tahun-tahun akan datang.
Katanya, mereka akan belajar seberapa banyak yang kami boleh dari Program Polaris disamping SpaceX akan belajar banyak dalam penyediaan Starship untuk penerbangan angkasa lepas manusia yang pertama. Dengan gabungan dua hal itu, Jared merasakan mereka akan mendapat gambaran jelas tentang misi yang akan datang.

Rancangan akhir SpaceX adalah mahu menggunakan Starship sebagai sistem pengangkutan dua peringkat yang boleh diguna semula sepenuhnya, yang mana mampu menghantar manusia dan set besar kargo ke bulan, marikh dan lokasi sistem suria yang lain.
Elon Musk percaya bahawa syarikatnya akan dapat meletakkan seseorang di planet tersebut dalam tempoh 10 tahun namun tetap berharap misinya itu dapat dicapai lebih awal.
Musk memberitahu Lex Fridman Podcast pada bulan Disember bahawa paling baik pun hal itu akan berlaku dalam masa lima tahun.
Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: