Hantar Anak Ke Tahfiz Untuk Dalami Ilmu Pengajian Islam, Pelajar Ini Sebaliknya Jadi Mangsa Liwat

Harapan seorang ibu yang menghantar anak lelakinya belajar di sebuah pusat tahfiz di Beserah, Kuantan untuk melihatnya berjaya dalam ilmu pengajian Islam dan al-Quran musnah dalam sekelip mata apabila anaknya menjadi mangsa liwat beberapa pelajar di situ sejak beberapa bulan lalu.

Ibu mangsa mendapat tahu tentang insiden itu sebaik sahaja menyedari kelakuan anaknya yang berusia 11 tahun mula berubah. Selepas didesak, kanak-kanak itu menceritakan kejadian yang telah menimpanya.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan iaitu Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berdasarkan keterangan mangsa, dia mengaku pernah diliwat beberapa kali oleh rakan sebiliknya.

“Mangsa memaklumkan mula diliwat sejak April lalu dan kejadian berlaku pada awal pagi. Mangsa juga dikatakan takut dengan beberapa rakannya sehingga menyebabkan dia tidak menceritakan kejadian itu kepada warden dan ibu bapanya.”

“Walau bagaimanapun, selepas mangsa berhenti belajar di sekolah itu pada bulan lalu, kejadian itu terbongkar sebelum ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Beserah pada Jumaat lalu,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Tambah Mohamad Noor, pihaknya telah menahan tiga orang remaja lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun di sekitar daerah Kuantan pada hari sama ibu mangsa membuat laporan.

Ketiga-tiga remaja itu direman bagi membantu siasatan berhubung laporan yang diterima.

Pada masa yang sama, mangsa juga akan menjalani pemeriksaan perubatan dan keterangannya akan diambil bagi melengkapkan siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca