Hampir RM150,000 Lesap, Penoreh Getah Menjadi Mangsa Penipuan ‘Tuan Poo’

Seorang penoreh getah di Temerloh menghadapi kerugian sebanyak RM141,590 apabila wang simpanan tetapnya selama beberapa tahun lesap begitu sahaja selepas ditipu sindiket penipuan dalam talian atau Macau Scam.

Kejadian ini bermula pada 27 April lalu apabila mangsa iaitu seorang lelaki yang berusia 59 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang suspek yang mendakwa kakitangan Telekom.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang iaitu Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek dikatakan mahu memotong talian internet mangsa kerana disalahgunakan untuk tujuan judi dalam talian.

“Seterusnya panggilan disambungkan kepada pihak polis dan mangsa bercakap dengan ‘Tuan Poo’ sebelum suspek kedua memberitahu penoreh getah itu juga sudah disenarai hitam kerana terlibat dengan perjudian dalam talian.

“Tidak lama kemudian mangsa menerima nombor TAC yang dihantar kepadanya sebelum ‘Tuan Poo’ meminta nombor berkenaan kononnya bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Mangsa menyerahkan nombor TAC berkenaan kepada suspek. Namun semalam mangsa mendapati wang dalam akaunnya sebanyak RM141,590 sudah lesap dalam simpanan,” kata Mohd Wazir dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, mangsa kemudian membuat semakan di bank dan mendapati telah berlaku lima transaksi wang bermula dari 28 April hingga 4 Mei lalu.

“Mangsa ada menghubungi ‘Tuan Poo’ dan suspek mendakwa akan mengembalikan wang berkenaan selepas siasatan selesai namun mangsa yang mensyaki dirinya sudah ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam.

“Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.

Diharapkan semua pihak sentiasa berhati-hati dan berwaspada supaya tidak ditipu oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Segala helah licik penipuan dalam talian harus dihidu dari peringkat awal lagi.

Untuk baca artikel lain berkenaan penipuan atau scammer, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca