Hamil Sama Sekali Tidak Halang Ardell Aryana Sertai Misi Kemanusiaan Syria

Meskipun sedang hamil empat bulan, pelakon Ardell Aryana tidak mahu terlampau memanjakan diri, sebaliknya dia tetap dengan pendiriannya untuk menyertai misi kemanusiaan ke Syria.

Difahamkan, Ardell dan suami iaitu Nadzmi Adhwa akan berada di sana selama 20 hari untuk misi di bawah Yayasan Tabung Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) itu. Misi berkenaan akan bermula pada 8 Januari ini.

“Ia bukan misi kemanusiaan pertama saya sertai kerana sebelum ini pernah ke Palu, Indonesia bagi membantu mangsa gempa bumi di sana,” kata Ardell.

“Cuma saya tidak terlalu menggembar-gemburkan perkara itu kerana bimbang dikatakan menunjuk-nunjuk. Tidak hanya di luar, saya juga aktif turun padang menyertai misi amal di dalam negara,” katanya lagi.

Menurut pelakon yang berusia 29 tahun itu, menyertai misi kemanusiaan secara tidak langsung membuka matanya terhadap realiti kehidupan. Pada masa yang sama, ia menyedarkan dirinya yang setiap manusia tidak terlepas daripada diuji.

“Saya pernah bertarung melawan sakit selama dua tahun. Ketika itu, saya mula sedar, menangis dan meratap hanya membuat saya menjadi semakin lemah serta tidak berdaya,” kata pelakon filem Dorm Melati dan XX Ray 3 itu.

“Jadi, saya bangkit melawan perasaan itu dengan menyertai misi kemanusiaan di Palu. Di sana, saya seronok dapat membantu mereka yang memerlukan, malah bebanan mengangkat kampit beras tidak terasa kerana saya terlalu teruja.”

“Saya ajar diri supaya tidak terus dihanyutkan kesedihan. Pengalaman itu menjadikan saya lebih positif dan tidak mudah berputus asa ketika menempuh ujian,” ujar Ardell.

Memetik laporan Berita Harian, Ardell mengatakan bahawa pengalaman di sana juga menyedarkan dirinya yang dugaan dilaluinya itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan kedukaan dan kesengsaraan insan lain.

“Apalah sangat ujian yang saya lalui, sedangkan di luar sana, ada yang saban hari terpaksa bertarung nyawa meneruskan hidup. Itu yang membuatkan saya menjadi lebih kuat dan berani menempuh dugaan hidup,” katanya.

Sebelum ini, kami pernah berkongsi tentang Misi Bantuan Syria di bawah Yayasan Afdlin. Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, anda boleh klik pada pautan di bawah untuk ketahui lebih lanjut tentang misi tersebut:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca