Haiwan 2 Alam, Adakah Siput Gondang Ini Boleh Dimakan Atau Sebaliknya?

Adakah anda pernah terdengar akan siput gondang? Haiwan ini adalah musuh ketat kepada para petani kerana ia merupakan makhluk perosak yang suka makan batang-batang pokok kecil dan sekali gus mengganggu tumbesaran anak-anak pokok.

Terdapat sesetengah pihak yang mendakwa siput ini tidak boleh dimakan kerana ia bersifat dua alam. Walau bagaimanapun, ada juga yang berkata ia boleh dimakan kerana tempat tinggalnya adalah sama dengan siput-siput yang boleh dimakan.

Adakah ia boleh dimakan atau sebaliknya?

Terdapat dua jenis siput gondang di Malaysia iaitu emas (Pomacea canaliculata) dan hitam (Pomacea insularum). Untuk pengetahuan anda, siput gondang ini cepat membiak dan boleh menghasilkan lebih kurang 500 biji telur pada masa yang sama.

Bukan sahaja memusnahkan hidupan-hidupan lain, siput gondang turut memakan sesama sendiri sekiranya tidak mempunyai bekalan makanan yang cukup. 

Ia akan mula aktif pada lewat petang sehingga tengah malam. Sepanjang tempoh berkenaan, ia akan melakukan kerosakan sehingga boleh merosakkan sepetak bendang sawah dalam satu malam sahaja.

Untuk menjawab persoalan anda, ia boleh dimakan tetapi anda perlu cuci dan masak dengan cara yang betul. Sebagai peringatan, isi yang berwarna hitam sahaja boleh dimakan.

Kegunaan siput gondang

Siput ini diminati oleh sebahagian besar masyarakat di Thailand, Vietnam dan Myanmar kerana ia mempunyai sumber protein yang tinggi. 

Selain itu, ia boleh menjadi ubat tradisional untuk merawat patah tulang, sakit belakang dan buasir. Telur siput gondang ini boleh melebatkan dan menguatkan akar rambut.

Walaupun musuh ketat kepada para petani ini boleh membantu kita, pembiakan siput gondang secara melampau membawa lebih mudarat berbanding kebaikan. 

Penulis:

  • Muhamad Aris Aziz adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan siput, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca