KONGSIKAN

Gara-gara gurauan tidak bertempat, seorang kanak-kanak terperangkap selama 10 minit di dalam sebuah mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri yang terletak di Bukit Sentosa, Rawang.

Insiden yang terjadi pada malam tadi bermula apabila bapa saudara kanak-kanak terbabit memasukkannya ke dalam sebuah mesin basuh dengan niat bergurau semasa mereka datang je kedai dobi tersebut bersama ibu kanak-kanak terbabit bagi membasuh pakaian. Kejadian itu bagaimanapun tidak disedari oleh ibu kanak-kanak tersebut.

Gurauan itu akhirnya membawa padah apabila pintu mesin basuh tersebut tidak dapat dibuka, menyebabkan kanak-kanak berkenaan terperangkap.

Beberapa individu difahamkan cuba untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit dalam video berdurasi dua minit 46 saat yang tular di media sosial.

Mereka akhirnya membuat keputusan untuk memecahkan pintu mesin basuh berkenaan selepas cubaan membuka pintu itu tidak berhasil.

Pemilik kedai dobi berkenaan, Hazmal Hassan berkata bahawa beliau ada menerima panggilan daripada bapa kanak-kanak berkenaan bagi membayar ganti rugi akibat kejadian yang berlaku. Dianggarkan Hazmal mengalami kerugian hampir RM3,000 berikutan insiden tersebut.