Gunakan Kaedah Unik Untuk Tarik Minat Murid Orang Asli Belajar, Ini Kisah Adiwira Cikgu Samuel

Rasanya, semua pembaca di sini pernah dengar ungkapan, “Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain”. Ia merupakan perumpamaan paling sesuai untuk menggambarkan jasa serta pengorbanan para guru yang tidak mampu dibayar dengan wang ringgit.

Sesungguhnya, mengajar seseorang itu yang asalnya tidak tahu apa-apa sehinggalah reti membaca dan menulis serta menyebut sesuatu perkataan bukanlah satu perkara yang mudah.

Inikan pula mengajar bahasa Inggeris kepada anak-anak orang Asli. Mungkin ada yang tidak sanggup untuk melalui cabaran itu tetapi tidak bagi insan yang dikenali sebagai Cikgu Samuel.

Guru di Sekolah Kebangsaan Runchang di Muadzam Shah, Pahang ini menganggap kesukaran itu sebagai tanggungjawabnya dan sesukar mana pun perkara itu, dia memilih untuk melihatnya sebagai satu tugas dan cabaran yang perlu diatasi.

Kisah Adiwira Cikgu Samuel ini dikongsikan oleh rakannya yang juga merupakan seorang guru, Mohd Fadli Salleh menerusi satu posting di laman Facebooknya.

Ini kisah Adiwira Cikgu Samuel Isaiah. Satu kisah yang aku rasa semua rakyat Malaysia perlu tahu.

Cikgu Sam ini mengajar di sekolah orang Asli iaitu Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah, Pahang. Semasa hari pertama beliau menjejakkan kaki ke sekolah ini, seorang guru senior ketika itu berkata kepadanya, “Cikgu Samuel tak perlu cuba apa-apa sangat, mereka cuma murid orang Asli.”

Dia agak terkejut dengan kenyataan itu. Seolah-olah orang asli ini tidak mampu berjaya. Dari situ dia mula mencabar dirinya dan mengubah persepsi 100 peratus orang sekeliling dengan murid orang Asli.

Apa beliau buat? Baca ini!

Cikgu Sam merupakan seorang guru bahasa Inggeris. Cabarannya sangat besar memandangkan muridnya terdiri daripada kaum orang Asli.

Sangat sukar untuk membuatkan mereka fasih dan handal dalam bahasa Inggeris sebenarnya. Lagi pun, kehadiran orang Asli ke sekolah agak teruk.

Apa yang Cikgu Sam buat?

Beliau jadikan kelasnya menarik. Agar setiap hari anak-anak didiknya teruja untuk ke sekolah. Antaranya ialah dengan membawa alat muzik ukelele ke sekolah.

Beliau handal bermain alat muzik tersebut dan tidak sia-siakan bakat itu. Beliau mencari dana untuk dapatkan ukelele bagi setiap muridnya dan mereka belajar sambil menyanyi dan bermain alat muzik.

Cikgu Samuel mengimpikan kemudahan yang terbaik untuk anak murid orang Asli beliau, setaraf dengan sekolah bandar dan antarabangsa.

Atas keinginan untuk memberikan yang terbaik untuk mereka, Cikgu Samuel telah menjana dana melalui laman Give.my dan telah mewujudkan kelas bahasa Inggeris abad ke-21 pada tahun 2015.

Kelas sebegini yang pertama di sekolah orang Asli mempunyai kemudahan teknologi terkini, di mana setiap murid mempunyai tablet dan komputer, sistem suara dan projektor LCD.

Ya, setiap murid beliau ada tablet!

Cuma tidak dibenarkan bawa pulang. Hanya simpan di kelas. Risau bila benarkan bawa pulang, ada murid gunakan tablet itu untuk baling ayam.

Projek ini juga telah mendapat perhatian laman sosial apabila penyanyi terkenal Altimet telah mempromosikannya sebagai duta.

Antara projek lain yang Cikgu Samuel buat bagi menarik minat murid selain memahirkan mereka dalam bahasa Inggeris adalah projek pertukaran emel antarabangsa yang dipanggil ‘Asli E-Pal’.

Murid orang Asli Cikgu Samuel menggunakan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan sukarelawan dewasa dari seluruh pelosok dunia dan mendapat sokongan dari dalam dan luar negara.

Hebat kan?

Tidak cukup dengan itu, Cikgu Sam sedar keciciran dalam kalangan murid orang Asli masih tinggi. Walaupun pelbagai usaha yang menarik dibuat di sekolah, masih ada ramai yang tidak hadir terutamanya pada musim buah tembikai.

Maka, beliau usahakan satu lagi projek power yang dinamakan Sekolah Pokok.

Kenapa Sekolah Pokok? Kerana murid-muridnya belajar di bawah pokok.

Cikgu Sam buat banner dan hebahan. Masuk ke kampung orang Asli kemudian mencari pokok yang teduh untuk dijadikan tempat belajar.

Beliau korbankan masa cuti hujung minggu dengan mengajar murid orang Asli yang tercicir di bawah pokok sahaja. Awalnya kehadiran sekitar 10 orang sahaja.

Disebabkan gaya dan pembelajaran beliau sangat menarik, kehadiran meningkat mendadak hingga lebih 50 orang datang belajar.

Kelas bahasa Inggeris beliau kini penuh dengan keriangan, muzik dan puisi, gelak tawa, kemudahan teknologi dan murid orang Asli yang cintakan pembelajaran. Sesuatu yang pernah dianggap mustahil.

I believe we need good pedagogy to teach, I believe in the pedagogy of the heart.

Moto di atas merupakan pegangan Cikgu Samuel sebagai pendidik, di mana beliau percaya tiada yang mustahil jika ia datang daripada hati.

Dan kini, peratusan lulus bahasa Inggeris di sekolah beliau meningkat dengan drastik dan ada dalam kalangan murid orang Asli Cikgu Sam mendapat A dalam UPSR.

Betapa besarnya pengorbanan, betapa gigihnya beliau dalam memandaikan anak bangsa sehingga diri aku rasa sangat kerdil dan tiada apa.

Cikgu Sam. Aku bertuah mengenali kau. Aku beruntung mendengar setiap kisah daripada kau.

Kau sememangnya layak digelar Adiwira.

Ini antara 16 adiwira lantikan KPM pada tahun 2019. Dan lantikan ini sangat kena dengan calonnya.

Rata-rata warganet yang membaca kisah Cikgu Samuel ini memuji inisiatif yang diambil oleh insan yang bersungguh-sungguh mengajar anak didiknya tanpa jemu. Semoga kisah ini memberi inspirasi kepada semua individu di luar sana. Terima kasih dan syabas, Cikgu Samuel!

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca