Guna Taktik Licik Untuk Makan KFC Percuma Selama Setahun, Pelajar Ini Akhirnya ‘Kantoi’

Kakitangan restoran makanan segera KFC telah ‘diperbodohkan’ oleh seorang pelajar sebuah universiti selama setahun lamanya untuk mendapatkan set makanan percuma.

Lelaki yang berusia 27 tahun itu dipercayai mengenakan sut kemas dan tiba dengan menaiki kereta mewah limosin sebelum melangkah masuk dengan penuh keyakinan.

Padahal, kereta tersebut bukan miliknya tetapi ia dipandu oleh kawannya yang bekerja sebagai pemandu limosin separuh masa.

Setiap kali dia menjejakkan kaki ke restoran itu, dia akan menunjukkan kad pengenalan diri ‘head office’ sebelum terus menuju ke dapur untuk melakukan pemeriksaan ke atas ayam yang sedang digoreng.

Nama lelaki tersebut tidak didedahkan namun laporan media tempatan mengatakan yang dia merupakan seorang pelajar di Universiti KwaZulu-Natal, Afrika Selatan.

Dia dipercayai akan mengunjungi setiap cawangan KFC di Afrika Selatan dan setiap kali itu jugalah dia akan melakukan tindakan yang sama.

Lelaki yang ‘terlebih’ akal itu juga memberitahu para pekerja yang dia dihantar oleh ibu pejabat KFC untuk memeriksa kualiti makanan yang dihidangkan.

“Dia mungkin pernah bekerja di restoran KFC sebelum ini memandangkan dia tahu semuanya,” ujar salah seorang staf KFC kepada Xpouzar.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua dan begitulah dengan nasib ‘tupai’ ini yang akhirnya ‘kantoi’. Dia kemudiannya ditahan oleh pihak berkuasa.

Walaupun tindakannya itu terang lagi bersuluh adalah salah, namun rata-rata warganet menganggapnya sebagai ‘hero’ kerana taktiknya yang tidak pernah terfikir dek akal itu.

Artikel Lain Untuk Di Baca