Guna Darah Khinzir Dalam Masakan, Pihak JAKIM Tampil Jelaskan Status Halal Ah Cheng Laksa

Kelazatan menu laksa di Restoran Ah Cheng Laksa sudah tidak dapat dinafikan lagi. Walau bagaimanapun, baru-baru ini tular sebuah komen menerusi laman sosial Facebook yang menyatakan bahawa status cawangan restoran berkenaan yang terletak di Selangor dan Kuala Lumpur adalah tidak halal.

Lebih meragukan apabila dakwaan tersebut mengatakan bahawa status tidak halal itu telah dinyatakan sendiri oleh pemilik restoran berkenaan. Bahkan, pemilik restoran itu juga mengakui bahawa satu daripada bahan menu laksa mereka diperbuat daripada darah khinzir.

Dakwaan ini secara tidak langsung mendapat perhatian warganet dalam media sosial. Rata-ratanya meluahkan rasa kebimbangan dan kekeliruan lebih-lebih lagi mereka yang beragama Islam.

Susulan daripada peristiwa ini, Bahagian Hab Halal JAKIM tampil memberi penjelasan berkenaan status halal restoran tersebut.

Sebagai makluman, Pihak Hab Halal JAKIM menjelaskan bahawa premis makanan Ah Cheng Laksa ini sememangnya masih belum menjadi pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Bagaimanapun, cawangan premis restoran ini yang berlokasi di Taman Perindustrian USJ 1, Subang Jaya, Selangor telah dipersijilkan halal.

Perlu diketahui bahawa pemerolehan sijil halal di cawangan restoran yang terletak dekat Subang Jaya ini tidak memberi makna bahawa seluruh rangkaian restoran berkenaan adalah halal.

Bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang lagi, pihak JAKIM menerusi posting di akaun Facebook mengalu-alukan pihak syarikat berkenaan untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi seluruh rangkaian premisnya agar keraguan status halal dapat diatasi dengan efektif.

Sehubungan itu, pihak JAKIM menasihatkan kepada seluruh pengguna agar lebih berwaspada sebelum menularkan sesuatu isu lebih-lebih lagi berkaitan status halal sebuah premis makanan.

Hal ini penting agar pengguna tidak mudah terjebak ke dalam kancah pemfitnahan yang mencetuskan perbalahan antara ummah sehingga mengakibatkan keharmonian negara terjejas.

Untuk memastikan status halal bagi sesuatu produk dan premis makanan, anda digalakkan untuk melayari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi telefon pintar iaitu Verify Halal.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca