Graduan UiTM Ini Berjaya Hasilkan 12 Lakaran Haiwan Terancam Di Papan Iklan KLCC

Muaz Zainuddin, 24, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Fotografi merupakan pemuda yang bertuah apabila hasil kerja tangannya terpampang gah di salah satu kawasan tarikan pelancong.

Bukan satu atau dua, Muaz telah menghasilkan 12 ilustrasi grafik yang memaparkan visual haiwan-haiwan yang diancam kepupusan di negara ini.

Kesemua visual haiwan seperti gajah, tapir, harimau, orang utan, burung merak dan banyak lagi dipaparkan di papan iklan di lokasi ikonik negara iaitu berhampiran Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) atau KLCC Snokels.

Apa yang lebih membanggakan adalah apabila Muaz diberi kepercayaan oleh sebuah syarikat pengiklanan, Big Tree Outdoor untuk menjadi sebahagian daripada ‘orang penting’ projek tersebut walaupun baru sahaja menyertai syarikat berkenaan pada awal tahun lalu.

“Idea projek ini datang daripada Pengurus Besar, Nismanita Zulkifli. Seperti yang kita tahu, sekarang ini rata-rata orang bercakap mengenai wabak COVID-19. Jadi beliau keluarkan idea ini, di mana isu kepupusan haiwan juga merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian.

“Team kami berbincang bagaimana nak sampaikan idea itu untuk dipaparkan di papan iklan di KLCC dengan konsep pop-art, dengan warna-warna yang terang untuk digunakan.

“Saya ditugaskan untuk menyampaikan idea dalam bentuk visual. Ia merangkumi tanggungjawab untuk melakar dan buat ilustrasi grafik untuk kesemua 12 haiwan berkenaan.

“Sementara itu, rakan sepasukan, Jim Yusuff Jasmy pula ditugaskan untuk buat copywriting dan penyelidikan tentang haiwan-haiwan berkenaan. Ini kerana di papan iklan itu ada QR code, bila pengunjung scan (imbas), akan keluar informasi mengenai haiwan-haiwan ini,” ujar Muaz.

Menurutnya lagi, projek ini adalah salah satu kempen untuk menyebarkan kesedaran kepada orang ramai tentang hidupan terancam di negara ini.

Bagi Muaz sendiri, dia tidak menyangka akan diberi peluang kerana merasakan dirinya masih ‘mentah’ di dalam syarikat berkenaan.

“Saya mulakan kerjaya di syarikat itu pada Februari lalu, sebulan selepas tamatkan pengajian. Tempoh percubaan saya tamat pada Julai lalu. Terharu dan tidak percaya rasanya diberi kepercayaan dan peluang untuk menjadi sebhagian daripada pasukan projek ini.

“Sebelum ini saya merupakan pereka grafik secara kecil-kecilan, syukur dengan peluang yang diberikan ini, secara tak langsung ia boleh menjadi satu batu loncatan untuk saya kembangkan lagi bakat.

“Inilah hasil pertama yang menjadi pencapaian tertinggi saya setakat ini. Tiada apa yang mampu diucapakan selain syukur Alhamdulillah. Ini semua takkan berlaku tanpa sokongan orang sekeliling terutama ibu bapa,” kata Muaz.

Terdahulu, Muaz berkongsi klip video yang memaparkan papan iklan hasil kerja tangannya di laman Twitter.

Perkongsian yang meraih sehingga lebih 19,000 kicauan itu dipenuhi dengan ucapan tahniah daripada warganet yang turut sama berkongsi kegembiraan dan rasa bangga terhadap Muaz.

Untuk baca lebih banyak artikel yang berkaitan, anda boleh kilk pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca