GrabFood Umum Kos Penghantaran Naik Sehingga RM9

Syarikat GrabFood yang menawarkan perkhidmatan hantaran makanan mengumumkan kenaikan kos penghantaran daripada RM5 hingga RM9 bagi setiap pesanan yang dibuat oleh para pengguna bermula Isnin lalu.

Memetik laporan portal berita The Star, peningkatan tersebut dilakukan GrabFood dalam usaha mereka meluaskan radius penghantaran bagi memenuhi permintaan pelanggan untuk membuat pesanan makanan dari pelbagai pilihan restoran.

Difahamkan, bagi pesanan dari restoran yang jaraknya kurang atau masih dalam lingkungan lapan kilometer, kos penghantaran yang dikenakan masih kekal pada kadar RM5.

Bagi pesanan dari restoran-restoran berjarak sekitar lapan hingga 10 kilometer, caj yang dikenakan adalah sebanyak RM6 manakala bagi pesanan dari kedai makan yang berada dalam lingkungan 10 hingga 12 kilometer pula, caj yang dikenakan adalah RM7.

Menurut laporan Astro Awani, perubahan kos penghantaran ini dibuat selepas pengurusan GrabFood mengambil pertimbangan jarak perjalanan jauh yang perlu ditempuhi penghantar mereka.

Pada masa yang sama, GrabFood turut mengumumkan pemberhentian kesemua pelan langganan bulanan dan Pelan Deluxe GrabFood (15 penghantaran percuma, tiga kupon RM10 dan baucar diskaun 40 peratus) bermula esok.

Walau bagaimanapun, para pelanggan semasa masih boleh memperbaharui pelan mereka buat kali terakhir. Mereka juga ditawarkan kupon diskaun sebanyak 50 peratus untuk berbuat demikian.

Menurut pihak pengurusan GrabFood, peningkatan caj penghantaran ini cuma sementara memandangkan mereka masih lagi menilai semula keperluan pelanggan.

Artikel Lain Untuk Di Baca