Seorang pemandu Grab yang tersilap menerima S$33,600 (RM101,739) daripada syarikat berkenaan terima padah apabila dia dipenjara 3 bulan gara-gara menyalahgunakan wang tersebut.
Difahamkan, wang tersebut sepatutnya dibayar kepada sebuah syarikat penyedia khidmat iaitu Wow! Gadgets, namun seorang kakitangan Grab dipercayai tersilap memindahkan jumlah berkenaan ke akaun simpanan POSB milik Wong Siew Wai. Kejadian ini berlaku pada 21 Ogos tahun lalu.
Selepas 9 hari, syarikat berkenaan baru sedar tentang perkara itu dan memberitahu kakitangan tersebut mengenai kesilapan yang telah dilakukannya. Sebaik sahaja dimaklumkan tentang perkara itu, dia segera memberitahu rakan-rakan di tempat kerjanya itu.
Pada 30 dan 31 Ogos tahun lepas, Grab bertindak menghubungi ‘Orang Kaya Baru’ yang berusia 54 tahun itu dan memaklumkan berkenaan kesilapan yang berlaku. Pada masa yang sama, Grab meminta Wong untuk memulangkan wang itu.
Namun begitu, menurut Timbalan Pendakwa Raya Claire Poh, Wong dengan selambanya mengelak dan enggan berbuat demikian. Malah, dia juga tidak dapat dihubungi selepas itu.
Bukan itu sahaja, Wong turut menghubungi POSB dan bertanya sama ada pihak bank akan mengambil apa-apa tindakan sekiranya pemilik akaun enggan memulangkan wang yang dipindahkan secara silap.
“Tertuduh mendakwa bahawa wakil POSB memberitahunya tiada tindakan akan diambil,” kata pihak pendakwa.
Sepanjang 2 bulan setelah dia diberitahu tentang kesilapan itu, Wong bukan sahaja menggunakan wang berkenaan untuk membayar bil peribadi dan menambah nilai CashCard, malah dia juga bertindak memindahkan wang itu ke akaun-akaun lain.
Dia juga menggunakan wang itu untuk membiayai yuran sekolah anaknya di samping mengeluarkan wang tunai berjumlah S$8,300 (RM25,131).
Pada 24 Oktober 2018, aduan polis telah dibuat oleh pengawal kewangan serantau Grab. Sehari selepas aduan itu dibuat, Wong disoal siasat oleh pihak polis.
Ketika disoal siasat, Wong mengaku bahawa dia memilih untuk tidak memulangkan wang itu kepada Grab. Sebaliknya, dia dengan senang hati melesapkan serta membelanjakan wang itu seolah-olah ia miliknya. Dia berbuat demikian kerana sedang kesempitan wang.
Semasa Wong disoal siasat polis, sekitar S$11,000 (RM33,307) yang dipindahkan ke akaunnya masih tidak digunakan. 4 hari kemudian, jumlah tersebut akhirnya kembali ke tangan pemilik asal iaitu Grab dan Wong juga menambah lagi S$1,000 (RM3,027) menjadikan jumlah keseluruhan S$12,000 (RM36,335).
Wong mengaku bersalah atas tuduhan yang dilemparkan ke atasnya iaitu melesapkan wang. Atas kesalahan itu, dia boleh dihukum penjara hingga 2 tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Dia dibenarkan untuk menangguhkan hukuman hingga 27 Mei.