“Eh, kau ni susah sangat nak bergaul dengan orang kenapa? Susahlah nak berjaya kalau macam ni asyik menyendiri je.”

“Asyik membaca je, skema betul kau ni.”

“Orang pemalu macam kau, memang tak kemanalah.”

Berikut merupakan kata-kata yang sering dilontarkan oleh sesetangah individu kepada mereka yang tergolong dalam golongan introvert. Namun begitu, golongan ini tidak sepatutnya mendapat cemuhan seperti itu kerana mereka ada cara tersendiri.

Golongan yang memiliki sifat introvert ini kebiasaannya lebih cenderung menutup diri daripada kehidupan luar. Golongan ini juga lebih banyak berfikir dan kurang melakukan aktiviti lain. Di samping itu, golongan ini adalah golongan yang lebih senang berada dalam kesunyian atau keadan yang tenang berbanding di tempat yang terlalu ramai orang. Berikut adalah ciri-ciri golongan introvert:

1. Suka menyendiri dan susah bergaul.

2. Pemalu dan pendiam.

3. Lebih senang bekerja sendirian.

4. Jarang bercerita, lebih suka mendengar orang bercerita.

5. Lebih mudah mengungkapkan perasaan dengan tulisan.

6. Suka dengan aktiviti yang tenang seperti membaca, bermain komputer, memancing, bersantai dan sebagainya.

Namun begitu, tahukah anda di sebalik golongan introvert ini, terdapat mereka (golongan introvert) yang berjaya merangkul nama dan berpengaruh di dunia. Ada dalam kalangan mereka ini yang berjaya dengan pencapaian terhebat dalam sejarah dan juga menjadi ahli perniagaan yang berjaya. Antara nama yang sering kita dengari adalah:

1. Albert Einstein

Albert Einstein merupakan seorang ahli Fizik terkenal di dunia. Beliau juga seorang individu yang bertanggungjawab membangunkan teori relativiti dan merupakan seorang introvert. Albert Einstein lebih banyak berfikir dan bekerja bersendirian.

Menurut beliau, “Kebosanan dan kesendirian dalam kehidupan yang tenang merangsang minda kreatif”. Beliau turut menerima Hadiah Nobel Fizik pada tahun 1921.

2. Bill Gates

Berdasarkan penulis dan pakar introvert iaitu Susan Cain, beliau menggelarkan pengasas dan pengerusi Microsoft ini sebagai introvert. Bill Gates boleh dikatakan sebagai seorang usahawan yang genius dalam kalangan introvert.

Bagi Bill Gates, peribadi introvert berkemampuan untuk melakukan yang terbaik. Jika seseorang itu bijak, seseorang itu boleh mendapatkan kelebihan menjadi seorang introvert. Sebagai contoh, mereka akan mampu mengambil masa bersendirian dan berfikir mengenai masalah besar, membaca segala yang termampu dan memaksa diri untuk berfikir di luar norma.

3. Mark Zuckerberg

Mark Zuckerberg juga merupakan seorang introvert. Ketua Pegawai Operasi Facebook, Sheryl Sandberg memberitahu The New York Times pada tahun 2010 bahawa Mark adalah sangat introvert dan pemalu. Beliau sering kelihatan seperti tidak mesra oleh orang yang tidak mengenalinya tetapi sebenarnya Mark adalah sebaliknya.

Malah, Mark juga dikatakan sangat mengambil berat mengenai kakitangannya. Kerjasama dan perhubungan yang tulen menjadikan Mark sebagai seorang CEO yang menyakinkan dan bukannya seorang CEO yang hanya inginkan kakitangannya mengikut telunjuknya sahaja. Ini merupakan salah satu contoh bagaimana introvert adalah pekerja yang bernilai dan pemimpin yang hebat.

4. J. K. Rowling

Bagi mereka yang merupakan peminat cerita Harry Potter, sudah tentu mengenali J.K. Rowling. Tapi, ramai yang tidak tahu bahawa beliau adalah seorang introvert.

Mereka yang dikategorikan sebagai introvert dikatakan sangat kreatif apabila bersendirian berbanding apabila duduk secara berkumpulan. Itulah yang berlaku kepada J. K. Rowling yang mana beliau mendapat idea pertama menghasilkan Harry Potter pada tahun 1990 ketika berjalan seorang diri dari Manchester ke London.

Oleh itu, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan tanggapan kepada golongan ini bahawa mereka tidak mampu pergi jauh dan berjaya.

Penulis

  • Nur Ashima Muhammad adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
Sumber:

Iluminasi

0
like
0
love
0
haha
0
wow
0
sad
0
angry