Golongan Berusia Lebih Menarik? Ini 5 Punca Wanita Suka Lelaki Berumur Berbanding Muda

Kebanyakan wanita pasti mengidamkan seorang suami yang boleh memimpin mereka ke jalan yang benar. Jika diteliti, rata-rata wanita masa kini lebih memilih untuk bersama dengan pasangan yang lebih tua daripada usia mereka.

Gambar sekadar hiasan.

Misalnya, baru-baru ini media hiburan digemparkan dengan berita pertunangan antara seorang pelakon cantik berusia 22 tahun, Intan Najuwa dengan lelaki pilihan hatinya yang berumur 38 tahun.

Hal ini bukanlah suatu perkara yang asing lagi dalam norma masyarakat hari ini. Malahan, seorang penulis iaitu Christie Hartman menyatakan bahawa golongan wanita muda sememangnya dilihat lebih cenderung tertarik dengan kedewasaan, kesenangan, kepercayaan dan kebijaksanaan seorang lelaki dalam memimpin mereka.

Maka, tidak hairanlah sekiranya wanita lebih terarah kepada lelaki yang berusia. Berikut kami kongsikan lima sebab wanita suka akan golongan yang berusia berbanding muda:

1. Lebih stabil

Gambar sekadar hiasan.

Golongan lelaki berusia pastinya sudah mempunyai bidang kerjaya tersendiri dan kewangan yang stabil. Ciri-ciri tersebut secara tidak langsung memperlihatkan mereka sebagai seorang yang bertanggungjawab untuk memikul tugas sebagai ketua keluarga. Ini bermakna golongan berkenaan semestinya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk melangkah ke alam perkahwinan.

2. Lebih menghargai

Gambar sekadar hiasan.

Lelaki berusia dikatakan mempunyai lebih banyak masa untuk diluangkan dengan kekasihnya. Mereka dilihat lebih cenderung untuk memberi sepenuh perhatian kepada wanita.

Selain itu, ramai dalam kalangan wanita juga berpendapat bahawa golongan ini lebih memahami ragam mereka terutama dalam situasi memujuk dan mengambil hati pasangan. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh tujuan hidup mereka yang lebih serius dalam sesebuah perhubungan.

3. Lebih berwawasan

Gambar sekadar hiasan.

Lelaki berusia dilihat lebih berpandangan jauh dalam membina masa hadapan bersama orang yang dikasihinya. Kebanyakan daripada mereka akan merancang untuk memberikan kehidupan yang selesa bagi isteri dan anak-anaknya. Hal ini secara tidak langsung mendorong wanita muda percaya bahawa kehidupan mereka akan lebih terjamin sekiranya berkahwin dengan lelaki berusia.

4. Lebih matang

Gambar sekadar hiasan.

Individu dengan tahap kematangan tinggi semestinya bijak dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mereka tidak akan bersikap terburu-buru malah meneliti segala aspek sebelum membuat sebarang keputusan.

Sifat kematangan dan kedewasaan sememangnya menawan hati wanita kerana lelaki matang tidak mudah untuk meletakkan egonya dalam perhubungan. Golongan ini juga akan lebih profesional jika dibandingkan golongan 20-an yang sering mementingkan diri.

5. Bersikap terbuka

Gambar sekadar hiasan.

Golongan lelaki berusia dikatakan bersikap lebih terbuka berbanding golongan muda. Ini kerana, mereka tidak begitu kisah tentang penampilan seorang wanita itu. Mereka lebih menerima daripada mengkritik atau membanding-bandingkan wanita dengan orang lain.

Hal ini berbeza dengan lelaki muda yang cenderung menginginkan pasangan dengan rupa paras cantik, berfesyen dan banyak lagi.

Maka, tidak hairanlah jika golongan berusia berupaya menambat hati golongan wanita. Walau bagaimanapun, ia hanyalah sekadar pandangan dari kebanyakan masyarakat dalam menyatakan sebab mereka memilih golongan yang lebih berusia.

Penyenaraian ciri-ciri di atas berkenaan golongan lelaki berusia sama sekali tidak bertujuan untuk membandingkan atau memburukkan golongan muda, kerana penilai yang sebaik-baiknya adalah daripada Allah swt sendiri.

Penulis

  • Umi Liyana Binti Rosly adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Artikel Lain Untuk Di Baca