Golongan Antivaksin Boleh Dikenakan Tindakan Undang-Undang

Golongan antivaksin yang cuba untuk mencetuskan ketakutan orang ramai daripada menerima suntikan vaksin COVID-19 akan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.

Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan bahawa individu-individu sedemikian akan turut dikenakan tindakan mengikut peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan juga undang-undang di bawah Ordinan Darurat 2021.

“Kita tidak perlukan undang-undang baharu, boleh guna undang-undang sedia ada,” tambahnya lagi.

Beliau turut mendesak rakyat untuk tidak menyebarkan informasi yang tidak sahih berkenaan vaksin COVID-19 kerana ianya akan menimbulkan rasa panik terhadap rakyat lebih-lebih lagi ketika dalam pandemik.

Takiyuddin turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat berbentuk provokasi berhubung pandemik COVID-19.

Jika terdapat individu yang masih ingkar, pihak berkuasa tidak bersegan silu untuk mengambil tindakan sewajarnya sebagai pilihan yang terakhir jika keadaan menjadi tidak terkawal.

Takiyuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu memaklumkan bahawa masih belum ada keputusan yang dibuat berhubung cadangan mengenakan kompaun ke atas pihak yang gagal hadir janji temu suntikan vaksin COVID-19.

Beliau berkata bahawa pihak kerajaan masih berpegang kepada dasar suntikan itu diambil secara sukarela dan percuma.

Beliau turut menzahirkan rasa dukacita kerana ramai penduduk gagal hadir termasuk di Kelantan kerana hal tersebut telah menyebabkan berlakunya pembaziran dos vaksin.

Takiyuddin mencadangkan agar kaedah baru boleh dibuat supaya mereka yang gagal hadir dapat digantikan dengan orang lain.

Menurut laporan sebelum ini, cadangan mengenakan kompaun dan penalti terhadap individu tidak menghadiri janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-10 (JKJAV) serta Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).

Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia mengatakan bahawa langkah mengenakan penalti terbabit dan mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19, dilihat boleh diambil selepas pendekatan sukarela atau usaha pendaftaran menerusi pelbagai medium termasuklah aplikasi MySejahtera dan secara bersemuka dilaksanakan sepenuhnya.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca