Gimik Keterlaluan Di AJL34, Drama Band Tampil Mohon Maaf

Persembahan Drama Band dalam majlis Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) masih menjadi bualan ramai walaupun ia sudah melabuhkan tirainya pada Ahad lalu.

Susulan gimik persembahan mereka pada AJL34 yang dianggap keterlaluan, kumpulan itu membuat permohonan maaf kepada pihak TV3 secara terbuka.

Memetik laporan Harian Metro, kenyataan dan surat yang ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak itu antara lain menyebut Drama Band tidak jangka persembahan mereka bakal menimbulkan pelbagai isu di media sosial.

Kenyataan itu berbunyi, “Terima kasih diucapkan kepada pihak TV3 amnya dan produksi AJL34 khasnya kerana telah memberikan ruang dan peluang kepada Drama Band sebagai salah seorang finalis.”

Tambahnya, “Sehubungan dengan itu, ruang persembahan yang diberikan oleh pihak produksi amat dihargai. Namun, pelbagai isu yang timbul terutamanya di media sosial amatlah tidak dijangka.”

Untuk itu, Drama Band memohon maaf di atas gimik persembahan yang telah dipersembahkan pada malam tersebut.

Dalam kenyataan yang sama, kumpulan itu berkata bahawa mereka mengambil iktibar di atas segala yang terjadi dan menyesali perbuatan dan persembahan yang telah menyinggung perasaan sesetengah pihak.

Jelasnya, “Bukan niat kami untuk menyinggung perasaan sesiapa cuma sekadar menyampaikan karya seni melalui cabang muzik kepada masyarakat.”

Sewaktu mempersembahkan lagu Drama, kumpulan itu didakwa telah memaparkan beberapa individu yang mencetuskan kontroversi.

Bukan setakat isu membabitkan Najib Razak dan Rosmah Mansor, Drama Band juga mempersembahkan adegan lain seperti kontroversi membabitkan seorang Dewi Remaja yang dilucutkan gelaran juaranya selepas berhibur di kelab malam.

Untuk pengetahuan anda, lagu Drama itu menceritakan perilaku seseorang yang sering menagih perhatian dan akhirnya terpalit kontroversi yang memakan diri sendiri.

Akhir sekali, kontroversi yang tercetus itu telah menyebabkan video persembahan Drama Band ‘digantung’ pihak TV3 daripada disiarkan di saluran YouTube TV3 Malaysia Official.

Untuk membaca lebih banyak artikel mengenai Drama Band, anda boleh klik pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca