Gilakan Barangan Lama? Ini 6 Lubuk Barangan Vintaj Yang Menawarkan Harga Serendah RM1

Setiap barang mempunyai nilainya sendiri. Tidak kira barangan baru atau lama, nilainya mampu mencecah ratusan hingga ribuan ringgit untuk sesetengah pengumpul. Kebanyakan barangan lama atau dikenali sebagai vintaj tidak kira dari segi pakaian, barangan rumah, kenderaan, elektronik dan muzik pasti mempunyai peminatnya yang tersendi.

Harga barangan vintaj ini boleh mencecah ratusan hingga ribuan kerana barangan tersebut sukar untuk dijumpai kerana ditelan dek zaman. Tetapi, terdapat komuniti yang masih menghargai barangan vintaj ini kerana mempunyai nilai sentimental tinggi.

Berikut adalah senarai tempat yang menjadi buruan pengumpul tegar:

1. Roadwalk Lorong Kulit, George Town, Pulau Pinang

Roadwalk Lorong Kulit ini menjadi tempat kegemaran saya bila pulang ke kampung halaman. Barangan vintaj seperti pakaian, jam tangan, piring hitam, kaset, kamera filem, mainan dan juga barangan antik yang lain boleh dijumpai di sini. Pasar ini dibuka setiap hari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari tetapi lebih seronok jika berkunjung pada hujung minggu kerana lebih ramai peniaga yang menjual barangan lama.

2. Pasar Karat Amcorp mall, Petaling Jaya, Selangor

Setiap hujung minggu, pasar ini pasti menjadi tumpuan dikalangan pengumpul figura aksi dan mainan. Pasar ini terdapat di dalam sebuah pasar raya yang terletak di Petaling Jaya. Pasar ini terbahagi kepada 2 bahagian. Di tingkat atas adalah bahagian yang menjual mainan. Di sini juga boleh menjumpai pelbagai mainan yang lama dan baru. Harga bermula dari rm1 hingga ratusan. Pada bahagian bawah terdapat barangan antik yang tidak pernah dilihat oleh sesetengah orang.

3. Pasar Tani, Shah Alam, Selangor

Pasar tani ini terletak di Stadium Shah Alam, Seksyen 13, Shah Alam. Pasar ini beroperasi pada hari ahad bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari. Pasar ini juga menjual barangan basah, pakaian dan barangan antik. Pasti penduduk Shah Alam pernah berkunjung ke pasar tani ini. Saya juga kerap berkunjung ke pasar ini kerana berdekatan dengan kawasan tempat tinggal dan tidak semestinya membeli, kadang-kadang hanya untuk melihat barangan antik.

4. Memory Lane, Ipoh, Perak

Pasar ini dikenali sebagai Loken oleh penduduk sekitar Ipoh. Pasar ini pasti menjadi salah satu tempat untuk berkunjung jika bercuti di Ipoh. Barangan yang dijual di Loken ini lebih kepada vintaj dan antik. Lebih ramai penjual barangan lama dari barangan baru. Loken adalah tempat kegemaran saya juga.

5. Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur

Jalan Raja Bot atau lebih dikenali sebagai JRB. Beroperasi waktu malam pada setiap hujung minggu. JRB adalah tempat berkumpul penjual pakaian vintaj dan bundle. Terdapat bermacam-macam pakaian dijual dan peniaga juga dari serata negeri. Masing-masing berkongsi minat yang sama tidak kira pakaian dijual itu sama seperti peniaga yang lain. JRB sering dijadikan ‘port’ untuk menyelam jika rakan dari luar negeri berkunjung ke sini.

6. Garage Flea Market, Ampang

Berkonsepkan kereta-kereta lama, garage flea market ini membawa keunikkan tersendiri. Penjual menjadikan kereta retro sebagai kedai untuk menjual. Pasar ini juga beroperasi pada hujung minggu dari jam 5 petang hingga lewat malam. Pasar ini menjual barangan antik yang unik seperti barangan kereta lama, kamera filem, jam tangan dan macam macam lagi. Bagi penggemar kereta lama, di sinilah tempat untuk anda berkunjung. Selain melihat barangan antik, pengunjung juga boleh melihat kereta antik yang sangat ‘rare’.

Tidak semua orang membeli atau mengumpul barangan vintaj ini. Ada juga sesetengah orang yang hanya suka melihat barangan vintaj yang jarang dijumpai kerana sudah tiada dijual di kedai. Jadi, silalah kunjungi tempat yang disenaraikan dan hargai barangan vintaj. Long Live Vintage!

Artikel Lain Untuk Di Baca